
“Agensi keselamatan akan laksana penguatkuasaan ketat, dan kegiatan mereka (warga Palestin) akan bersyarat,” katanya selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Fahmi berkata, menurut Menteri Luar Mohamad Hasan, kerajaan masih belum memulakan proses membawa kumpulan warga Palestin itu ke Malaysia.
Beliau menjelaskan, keputusan membawa masuk 15 warga Palestin itu sebahagian persetujuan yang dicapai dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyokong rundingan damai dan gencatan senjata di Gaza.
Katanya, sejak 20 tahun lalu, Israel dilapor membebaskan 380 warga Palestin yang tidak dibenarkan pulang ke wilayahnya.
Qatar dan Turki masing-masing bersetuju menerima 100 warga Palestin, tambahnya.
Pada 16 Ogos lepas, lebih 100 orang awam Palestin yang cedera tiba di Malaysia untuk menerima rawatan, berikutan serangan Israel ke atas Gaza pada 2023.
Awal tahun ini, tentera mengesahkan berlakunya kekecohan membabitkan warga Palestin di Wisma Transit, Kuala Lumpur, berpunca daripada permintaan agar proses mereka pulang ke tanah air disegerakan.
Kekecohan serupa berlaku di lokasi sama pada Oktober lepas, membabitkan warga Palestin yang dilaporkan tidak berpuas hati dilarang tinggal di luar premis atas kebimbangan keselamatan.
Kaji usul PM dua penggal
Sementara itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Jemaah Menteri mengkaji cadangan agar jawatan tertinggi negara itu dihadkan kepada dua penggal, memandangkan ia akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Pada Ahad, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menggesa kerajaan meminda Perlembagaan untuk memperkenalkan had penggal perdana menteri.
Menurutnya, ia bukan bertujuan melemahkan Anwar, tetapi untuk menjadikan dasar itu sebagai sebahagian legasinya.
Anwar telah menyatakan sokongan terhadap cadangan itu, tetapi menegaskan bahawa kata sepakat dalam kalangan parti politik diperlukan.
Pindaan Akta Finas
Fahmi turut berkata, rang undang-undang meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan dibentangkan di Parlimen pada Jun atau menjelang hujung tahun ini.
Pindaan yang dicadangkan itu bertujuan menyelaraskan akta dengan perubahan dalam industri filem, termasuk platform digital.
Katanya, pindaan itu akan memastikan undang-undang itu kekal relevan dengan merangkumi peranti digital, memandangkan pembikinan filem telah berkembang.
Pindaan itu akan mengukuhkan peranan Finas dalam menguruskan sektor itu, sambil menambah baik perlindungan buat pelakon dan kru, tambahnya.
Fahmi bagaimanapun menolak cadangan bahawa perundangan yang dicadangkan itu akan membawa kepada penapisan kandungan yang distrim dalam talian.