Tindakan letak jawatan KM buat pengaruh Guan Eng goyah, kata Ramasamy

Tindakan letak jawatan KM buat pengaruh Guan Eng goyah, kata Ramasamy

Bekas Adun DAP sifatkan keputusan Lim Guan Eng pada 2018 itu suatu kesilapan.

Bekas Adun DAP P Ramasamy berkata, dengan kehilangan kedua-dua jawatan persekutuan dan negeri, Lim Guan Eng tidak lagi mempunyai kuasa pentadbiran yang sebelum ini mengukuhkan pengaruh politiknya.
PETALING JAYA:
Keputusan Lim Guan Eng melepaskan jawatan ketua menteri Pulau Pinang ialah kesilapan Ahli Parlimen Bagan itu yang menyebabkan pengaruhnya semakin pudar, kata seorang bekas Adun DAP.

P Ramasamy berkata, keputusan Lim meletak jawatan itu untuk menjadi menteri kewangan apabila Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018 memakan diri selepas gabungan itu tumbang dalam tempoh hanya 22 bulan.

Bekas Adun Perai itu berkata, selepas kerajaan PH tumbang, Lim kehilangan jawatan dalam kerajaan, bermaksud beliau turut kehilangan pengaruh pada peringkat persekutuan dan negeri.

Menurut Ramasamy, kehilangan kedua-dua jawatan itu merisikokan Lim dari segi politik, justeru melemahkan keupayaannya untuk ‘memberi ganjaran kepada sekutu atau menundukkan lawan’.

Tambahnya, keadaan ini juga menyebabkan Lim tidak lagi mempunyai kuasa pentadbiran yang sebelum ini mengukuhkan pengaruh politiknya.

“Kalaulah Lim kekalkan jawatan ketua menteri itu, sudah pasti beliau mampu kukuhkan asasnya di Pulau Pinang, dan berkemungkinan tinggi menjamin penggal ketiga (sebagai ketua menteri) ketika PRN 2023

“Apabila memegang kuasa, beliau mungkin mampu halang perundangan yang hadkan perkhidmatan ketua menteri kepada dua penggal,” kata Ramasamy dalam kenyataan.

Ramasamy, yang pernah berkhidmat sebagai timbalan Lim dalam kerajaan Pulau Pinang, mengulas mengenai penyingkiran Ahli Parlimen Bagan itu sebagai pengerusi DAP pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) baru-baru ini.

Lim digantikan oleh Gobind Singh Deo, yang memperoleh undi terbanyak.

Susulan keputusan itu, Ramasamy mendakwa Lim melakukan satu lagi kesilapan, iaitu menerima peranan sebagai penasihat parti.

Beliau mendakwa, dengan menerima peranan itu, Lim ‘secara tersirat mengiktiraf’ kepimpinan Setiausaha Agung Loke Siew Fook.

“Sekiranya parti benar-benar mahu mengekalkan pengaruh Lim, beliau boleh sahaja dilantik semula sebagai pengerusi DAP, asalkan beliau masih ahli CEC,” katanya.

Ramasamy seterusnya berkata, Lim kini mesti bertanya pada dirinya sama ada peranannya dalam parti sekarang membolehkannya mempengaruhi masa depan Malaysia secara bermakna.

Tambahnya, bekas pengerusi DAP itu masih mempunyai masa untuk membentuk semula trajektori politiknya,

“Persoalan yang Lim perlu jawab kini mudah. Adakah beliau akan kekal diketepikan, atau adakah beliau akan berjuang untuk memperoleh semula kedudukannya dalam landskap politik Malaysia?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.