
Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi memaklumkan, beliau membuat laporan polis terhadap ‘Kartini Khalid’ di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.
“Langkah ini juga penting sebagai pengajaran kepada orang lain yang membuat komen melampaui batas.
“Saya percaya pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya di platform media sosial.
Isnin lepas, Syahredzan yang juga seorang peguam menggesa agar wanita itu membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam komen berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Syahredzan turut memuat naik tangkap layar komen ditulis wanita itu: “Muka-muka pengkhianat bangsa dan agama inilah, bila berlakunya tragedi parang terbang lagi nanti, mereka akan lari hingga ke lubang cacing dengan penuh ketakutan, namun tetap tewas dan akhirnya tumbanglah menyembah bumi dalam keadaan yang hina bersama tuan-tuan mereka.”
Dalam hantaran itu, Syahredzan berkata, beliau sedia memberi peluang agar wanita itu memohon maaf kepadanya secara terbuka sebelum beliau mempertimbangkan langkah selanjutnya.
“Buat posting terbuka, padam komen sebelum ini dan letak komen baru untuk memohon maaf secara ikhlas,” katanya.
“Saya beri masa sehingga 12 tengah hari (hari berikutnya). Jika tidak, saya terpaksa buat laporan polis terhadap Puan.”
Syahredzan hari ini berkata, walaupun telah diberi peluang, beliau membuat laporan polis kerana tidak dapat mengesahkan sama ada wanita itu telah membuat permohonan secara ikhlas.