Sekat aplikasi cari cinta undang jenayah seksual, kata pertubuhan pengguna siber

Sekat aplikasi cari cinta undang jenayah seksual, kata pertubuhan pengguna siber

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil dakwa aplikasi mencari cinta mudah dimuat turun tanpa ada pemantauan ketat.

Bukit Aman mendedahkan sejumlah 633 kes jenayah seksual pada tahun lalu antaranya akibat perkenalan di media sosial dan aplikasi cari cinta. (Gambar Envato Elemets)
PETALING JAYA:
Lebih 600 kes jenayah seksual tahun lalu membabitkan perkenalan dalam talian termasuk di aplikasi mencari cinta disifatkan membimbangkan yang memerlukan tindakan segera kerajaan, kata sebuah pertubuhan pengguna siber.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil menggesa kerajaan menyekat aplikasi mencari cinta yang mudah dimuat turun di App Store dan Google Play tanpa ada pemantauan ketat sehingga membuka ruang kepada jenayah seksual termasuk di kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Dulu aplikasi seperti Sugarbook nampak bertentangan dengan nilai juga telah disekat, sekarang mungkin boleh dibuat memandangkan lesen kelas pemberi perkhidmatan aplikasi (CASP) telah dipinda untuk memenuhi kelompongan.

“Kerajaan perlu melihat isu berkaitan aplikasi cari cinta untuk cegah gangguan dan jenayah seksual,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, Bukit Aman mendedahkan sejumlah 633 kes jenayah seksual termasuk kanak-kanak berpunca akibat perkenalan di media sosial dan aplikasi cari cinta pada tahun lalu.

Ia membabitkan perkenalan di Facebook, Google, Instagram, Leomatch, Omi, telegram, TikTok, Indrive, WeChat, WhatsApp, Bumble, Litmatch dan Tinder selain perkenalan di platform permainan dalam talian.

Sinar Harian melaporkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak- Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Siti Kamsiah Hassan berkata kajian dijalankan berdasarkan kes direkodkan mendapati media sosial dijadikan sebagai platform kepada pelaku untuk mencari dan mengenal pasti mangsa.

Menurutnya, pelaku akan mencari dan mendekati mangsa dengan menggunakan nama samaran atau identiti palsu.

Mengulas lanjut, Siraj berkata aplikasi, media sosial dan pengendali kedai aplikasi mudah alih seperti Google Play dan AppStore juga perlu diingatkan untuk meningkatkan pemantauan dan mengikut garis panduan.

“Namun kalau tindakan tak diambil itu pengendali, itu subjek antara mereka dengan penguatkuasa.

“Penyedia perkhidmatan kena ada literasi digitalnya dan mana-mana orang yang bersifat pemangsa perlu disekat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Alif Jasni dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar Dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM) mencadangkan kesedaran di kalangan orang ramai berkait bahaya eksploitasi dalam talian ditingkatkan menerusi media massa.

“Kes itu perlu dilaporkan secara terperinci termasuk modus operandi penjenayah siber dan kesan buruk terhadap mangsa.

“Pihak berkuasa dan pembuat dasar juga harus memperketatkan undang-undang serta memperkenalkan langkah keselamatan lebih berkesan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.