Santan kini tersenarai barang kawalan menjelang Aidilfitri

Santan kini tersenarai barang kawalan menjelang Aidilfitri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata langkah itu bagi pastikan harga santan dikawal menjelang sambutan itu.

Armizan Mohd Ali
Armizan Mohd Ali berkata, santan berada dalam senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025.
PUTRAJAYA:
Santan kini termasuk dalam barang kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu bagi memastikan harga santan dapat dikawal menjelang perayaan itu dan tidak membebankan pengguna.

“Kita tahu penghujung Feb lepas kita berhadapan dengan masalah gangguan bekalan yang harga santan ada sehingga mencecah sehingga RM22 sekilogram di sesetengah tempat.

“Jadi, bagi skim ini di Semenanjung kita letak harga maksimum santan pada kadar RM17.50 sekilogram. Bagi Sarawak (RM9), Sabah (RM12), dan Labuan (RM15),” katanya semasa mengumumkan (SHMMP) Aidilfitri 2025 bermula pada 24 Mac hingga 7 April ini.

Dalam pada itu, Armizan berkata tiga barangan ditambah tahun ini dalam skim kawalan harga itu adalah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), dan lobak merah.

Menurutnya pada tahun lalu, bawang merah kecil India dan bawang merah kecil India (Ros) tidak dimasukkan dalam skim kawalan harga itu kerana menghadapi masalah bekalan.

“Antara masalah dihadapi adalah India melaksanakan sekatan eksport (terhadap dua jenis barangan itu).”

Mengulas lanjut, Armizan berkata pelaksanaan SHMMP selama 15 hari itu membabitkan 26 jenis barangan.

Katanya, selain empat barangan yang dimasukkan dalam skim kawalan harga tersebut 22 barangan lain adalah sawi hijau, timun, tomato, cili merah, kacang panjang, bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang putih (China), ubi kentang import (China), dan halia tua import.

Selain itu, kacang tanah, cili kering kerinting, daging kerbau import (India), daging lembu import, daging lembu tempatan, ikan aya atau tongkol, ikan demuduk, sagai, cermin atau cupak, ikan kembung, ikan Selayang, kubis bulat import, kelapa biji, dan kelapa parut.

Tambah Armizan, semakan harga boleh dibuat melalui laman web KPDN di https://www.kpdn.gov.my.

Beliau berkata, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.