Polis ambil keterangan wanita rakam ibu Zayn Rayyan, 2 anak

Polis ambil keterangan wanita rakam ibu Zayn Rayyan, 2 anak

Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf percaya video itu 'bukan kebetulan' kerana tidak lama selepas rakaman mangsa ditemui mati dari lokasi video dirakam.

Zayn Rayyan
Zayn Rayyan Abdul Matiin dilapor hilang pada 5 Dis 2023 dengan mayatnya ditemukan sehari kemudian berdekatan Apartmen Idaman, Damansara Damai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis telah merakam keterangan wanita memuat naik video ibu Zayn Rayyan Zaim Ikhwan berjalan sambil memegang tangan dua anaknya, di kawasan parkir motosikal Blok R Apartmen Idaman Damansara Damai.

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar, berkata keterangan individu itu diambil pada 12 Mac selepas wanita itu membuat laporan di Alor Gajah, Melaka.

Katanya, perakam video juga dikenal pasti dan sudah diambil keterangan selain laporan polis juga dibuat.

“Setakat ini seramai lima saksi dirakam keterangan terdiri daripada ibu Allahyarham Zayn Rayyan, wanita yang memuat naik video itu, perakam video, dan suami perakam video.

“Selain itu, rakan perakam video yang kongsikan kepada wanita yang memuat naik video berkenaan turut diambil keterangan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, tujuan pemilik akaun TikTok memuat naik dan berkongsi video itu adalah untuk gerakan Justice4ZaynRayyan.

Pada 11 Mac, ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf membuat laporan terhadap satu pautan video TikTok merakamnya berjalan bersama dua anaknya, tidak lama sebelum Zayn Rayyan ditemukan mati.

Ismanira percaya ia bukan kebetulan kerana tidak lama selepas rakaman dibuat, Zayn Rayyan ditemui mati dengan jarak lebih kurang 200m, dari lokasi video itu dirakam.

Zayn Rayyan dilapor hilang pada 5 Dis 2023 dan jasadnya ditemukan di anak sungai berdekatan kediamannya sehari kemudian.

Dia dipercayai dibunuh selepas bedah siasat mendedahkan terdapat kesan cedera di leher dan badannya, konsisten untuk mempertahankan diri.

Ibu bapanya, Ismanira dan Zaim Ikhwan Zahar, kedua-dua berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengabaian kanak-kanak autistik berusia enam tahun, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.