
Tertuduh, Muhammad Firdaus Baktehir, 29, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass, menurut Berita Harian.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31, di sebuah rumah di Kampung Baru, Sri Gading, jam 5 petang, 8 Mac lalu.
Dakwaaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau pemenjaraan hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes untuk laporan forensik.
Media sebelum ini melaporkan, bomba menerima laporan kebakaran sebuah rumah dengan dua individu iaitu mangsa dan tertuduh melecur.
Siasatan awal polis mendapati, kebakaran berlaku apabila tertuduh menyimbah petrol sebelum menyalakan api dengan pemetik.
Kebakaran itu menyebabkan mangsa melecur 74% manakala tertuduh 13.5% dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.54 malam keesokan harinya.