
A Rukkumani berkata, surat penolakan permohonan A Jaya Letchmi itu hanya diterima empat tahun selepas kematian kakaknya itu pada 2021.
“Kami pasrah melupakan permohonan itu selepas Jaya Letchmi meninggal dunia. Namun pada Februari kami menerima surat penolakan permohonan kerakyatannya, bertarikh Dis 2024.
“Saya mahu kerajaan menjelaskan kenapa ini tertangguh sehingga empat tahun,” katanya kepada FMT.
Katanya, kelewatan itu mencetuskan persoalan mengenai kecekapan kementerian berkenaan.
Rukkumani memaklumkan FMT, permohonan itu dibuat pada 2020, dan kali terakhir keluarga itu bertanyakan statusnya adalah pada akhir tahun sama. Bagaimanapun, katanya, mereka tidak menerima sebarang maklum balas ketika itu.
Menurut surat bertarikh 11 Dis 2024 daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dilihat FMT, permohonan kerakyatan Jaya Letchmi ‘tidak berjaya’, tanpa sebarang sebab diberikan.
Nasib Jaya Letchmi, 72, dikisahkan menerusi surat kepada FMT pada Jun 2021, yang sepanjang hayatnya memiliki kad pengenalan merah sehingga meninggal dunia akibat Covid-19. Kad pengenalan merah dikeluarkan kepada penduduk tetap di Malaysia yang bukan warganegara.
Rukkumani berkata, kakaknya dilahirkan kepada bapa warga Malaysia di Kuala Lumpur, malah hidup sepanjang hayatnya di ibu negara. Kelahirannya dilaporkan di Balai Polis Sungai Besi pada 10 Dis 1948.
Walaupun keluarga itu memohon kad pengenalan biru di Kota Bharu, Kelantan selepas Jeya Letchmi memasuki usia 12 tahun, mereka tidak membuat tindakan susulan disebabkan bapanya hidup berpindah-randah sebagai pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTM).
“Pada masa itu, saya dimaklumkan orang tidak begitu mempedulikan isu seperti kad pengenalan,” kata Rukkumani.
Mendiang ibu mereka, RP Saraswathy, turut mengalami nasib sama apabila meninggal dunia pada usia 85 tahun tanpa diberi kerakyatan walaupun lahir di Negeri Sembilan pada 1933 malah fasih berbahasa Malaysia.
Rukkumani mahukan KDN memberi pengikitirafan posthumus kerakyatan kepada Jaya Letchmi memandangkan kedua-duanya hidup di Malaysia sepanjang hayat mereka dan tidak pernah tinggal di negara lain.
“Saya mahukan penjelasan dan (kerajaan) mengiktiraf mereka sebagai rakyat Malaysia yang berhak.
“Adakah adil untuk menafikan kerakyatan kepada orang yang hidup sepanjang hayat mereka di sini? Semestinya tidak,” katanya.
FMT telah menghubungi KDN untuk mendapatkan komen.