Kerajaan setuju sambung cari MH370, guna pakai prinsip ‘no find, no fee’

Kerajaan setuju sambung cari MH370, guna pakai prinsip ‘no find, no fee’

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menekankan tiada pembayaran dibuat kepada Ocean Infinity jika tiada sebarang bangkai pesawat ditemui.

ocean infinity
Disember lalu, kerajaan bersetuju secara prinsip menerima cadangan Ocean Infinity bagi memulakan misi pencarian baharu pesawat MH370. (Gambar Ocean Infinity)
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri bersetuju terma dan syarat perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity meneruskan operasi pencarian pesawat MH370, yang hilang lebih 11 tahun lalu.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata pihaknya akan mewakili kerajaan bagi menandatangani perjanjian dengan syarikat itu.

“Keputusan Jemaah Menteri ini membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi,” katanya dalam kenyataan.

Loke menekankan pencarian dibuat berdasarkan prinsip “no find, no fee”, bermaksud kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat berkenaan sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui.

“Fi sejumlah USD70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai. Kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup (closure)
bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370,” katanya.

Pada Februari, Loke berkata kerajaan sedang memuktamadkan kontrak dengan Ocean Infinity.

Meskipun itu, beliau berkata kerajaan mengalu-alukan laporan daripada media British yang melaporkan syarikat penerokaan itu telah memulakan pencariannya di Lautan Hindi semalam.

Pada Disember lalu, kerajaan secara prinsip bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity bagi memulakan pencarian baharu berdasarkan “no find, no fee”.

Kehilangan MH370 kekal menjadi misteri terbesar direkodkan dalam sejarah penerbangan dunia. Pesawat berkenaan hilang pada 8 Mac 2014, membawa 239 penumpang, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.