Khalid gesa DBKL, menteri bantu KL City FC kekal di Liga Super

Khalid gesa DBKL, menteri bantu KL City FC kekal di Liga Super

Bekas presiden KLFA Khalid Samad turut minta pengurusan pasukan lepas tugas jika tidak mampu laksanakannya dengan baik.

Tuan Haji Khalid Abd Samad
Khalid Samad gesa KL City FC dikekalkan dalam Liga Super supaya pemain dan jurulatih diberi peluang berkembang.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan menteri wilayah persekutuan digesa memberikan sokongan termasuk suntikan dana kepada Kuala Lumpur City (KL City) FC supaya ia kekal beraksi di Liga Super.

Bekas presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad, yang membuat gesaan itu juga mencadangkan kepada pihak pengurusan pasukan bola sepak itu melepaskan tugas jika tidak mampu melaksanakannya dengan baik.

“Jangan kerana kekurangan sokongan dan kewangan, KL City (terpaksa turun) ke Liga Perdana,” katanya pada sidang media di Bangunan Dewan Serbaguna Kampong Bharu.

“Kita perlu terus kekalkan pasukan ini dalam Liga Super dan beri peluang kepada pemain serta jurulatih untuk berkembang dan tunjuk potensi mereka.”

Beliau berkata, kemungkinan KL City bersaing dalam liga bawahan, bukan Liga Super seperti musim sebelumnya, merupakan suatu langkah ke belakang bagi sukan bola sepak negara secara keseluruhannya.

“Selama saya jadi presiden (KLFA), saya berusaha pastikan KL City berada dalam Liga Super, dengan harapan pasukan ini bukan sahaja bersaing dalam liga tertinggi, tetapi juga beri sumbangan kepada pembangunan bola sepak di Malaysia,” katanya.

Khalid mengulas kenyataan Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar kemungkinan pasukan itu meneruskan perjuangan di Liga Perdana.

Awal bulan ini, Syed Yazid dilaporkan berkata, keputusan itu ialah pilihan tepat supaya dapat menyelesaikan hutang lapuk kepimpinan lama membabitkan tunggakan gaji pemain, yang menurutnya dikecilkan daripada RM24 juta kepada RM15 juta sejak beliau mengambil alih pasukan Oktober lalu.

Khalid menyifatkan perkara itu sebagai suatu pengkhianatan terhadap perjuangan serta usaha keras yang dilakukan untuk membawa KL City ke tahap lebih tinggi termasuk di rantau Asia.

Beliau turut mengkritik kenyataan mengenai jumlah hutang RM24 juta yang disebut Syed Yazid, menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

“RM24 juta itu suatu jumlah yang tidak munasabah dan selepas lima bulan lebih kurang, tiba-tiba beliau kata, berjaya kurangkan kepada RM15 juta, nampak macam angka main petik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.