
Harian Metro melaporkan Tan Eek Ming, 44, dua ahli perniagaan Leong Hon Ming, 52, dan Khor Wooi Huat, 48, serta dua suri rumah, Beh Chui See, 31, dan R Nishanthi, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara tiga bulan, jika gagal membayar denda. Semua tertuduh kemudian membayar denda itu.
Berdasarkan lima pertuduhan, mereka didakwa secara berasingan sengaja mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kelahiran lima bayi di Kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN pada 8 pagi hingga 5 petang 26 Mei 2023 hingga 11 Okt 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pegawai pendaftaran selaku pengadu bersama sepasukan penguat kuasa JPN Putrajaya menahan semua tertuduh di depan pintu masuk utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam pada 1.30 petang 16 Mac lalu.
Siasatan mendapati semua tertuduh sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan kelahiran atas nama lima bayi sehingga sijil lahir dikeluarkan dengan nombor daftar.
Di mahkamah sama, seorang pelajar yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Ummu Salmah Mohamed Ibrahim, 25, didakwa mengemukakan maklumat palsu semasa mendaftarkan kelahiran atas nama bayi perempuan yang lahir pada 12 Ogos 2024 sehingga sijil kelahiran dikeluarkan di Kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN pada 11 Sept 2024.
Majistret kemudian menetapkan 22 April ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit sindiket pendaftaran lewat kelahiran bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Sijil kelahiran lewat yang disediakan sindiket dipercayai dijual kepada ibu bapa mempunyai anak angkat atau anak tiada kerakyatan antara RM10,000 hingga RM80,000.