2 beradik melecur disyaki akibat main mercun

2 beradik melecur disyaki akibat main mercun

Mangsa melecur di beberapa bahagian badan dan seorang daripadanya dilaporkan parah.

Ketua Polis Padang Terap Abdull Razak Osman berkata kejadian berlaku ketika dua kanak-kanak itu bermain mercun di luar rumah tanpa disedari ibu bapa mereka. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Dua beradik lelaki masing-masing berusia empat dan tujuh tahun melecur di beberapa bahagian badan disyaki akibat bermain mercun dalam kejadian di Kampung Baru, Kuala Nerang, semalam.

Ketua Polis Padang Terap, Abdull Razak Osman, berkata kejadian berlaku ketika dua kanak-kanak itu bermain mercun di luar rumah tanpa disedari ibu bapa mereka pada 8.15 malam.

Beliau berkata, polis menerima laporan kejadian pada 1.32 pagi tadi selepas kedua-dua mangsa dimasukkan ke zon merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira 9.30 malam.

“Semasa kejadian, ibu bapa dua kanak kanak tersebut menyatakan tidak menyedari kegiatan anak mereka bermain mercun di luar rumah dan dipercayai mercun jenis bola tersebut diperoleh dari rakan sekampung.

“Temu bual ke atas ibu kanak kanak tersebut menyatakan hanya menyedari kejadian tersebut setelah terdengar bunyi letupan di luar rumah sebelum dia bergegas keluar dan mendapati kedua-dua anaknya telah cedera. Sementara ayah kepada dua kanak-kanak ini tiada di rumah semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Razak berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan dan seorang daripadanya yang berusia tujuh tahun dilaporkan parah, kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (Picu) HSB.

Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka berhubung kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.