Sisa elektronik lebih RM14 juta dirampas di Kuching

Sisa elektronik lebih RM14 juta dirampas di Kuching

Sembilan individu ditahan termasuk seorang wanita tempatan dan lelaki warga asing berumur antara 26 hingga 55 tahun.

Seberat 525 tan komponen sisa elektronik dirampas dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya itu.
KUCHING:
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas sisa elektronik (e-waste) lebih RM14.69 juta dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya ini menerusi Op Hazard Sarawak, semalam.

Komander PGA Briged Sarawak Che Ghazali Che Awang, berkata serbuan di premis disyaki beroperasi tanpa permit atau lesen antara 10 pagi hingga 4 petang itu, turut melibatkan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, pasukan serbuan turut menahan sembilan individu termasuk masing-masing seorang wanita tempatan dan lelaki warga asing berumur antara 26 hingga 55 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 525.45 tan komponen e-waste belum diproses bernilai RM14.69 juta, tiga kenderaan berat (RM2.4 juta), lima mesin, dan peralatan pelbagai jenis (RM3.02 juta) serta rampasan lain bernilai RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan.

Anggaran nilai keseluruhan rampasan lebih RM21.61 juta.

Semua rampasan diserahkan kepada JAS dan PBT untuk siasatan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, serta Undang-undang Kecil dan Kaedah-kaedah Majlis Perbandaran Padawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.