
Menurut sumber, sindiket mengupah individu pemaklum yang menyamar sebagai waris bayi untuk mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semasa proses pendaftaran.
“Ejen sindiket akan menyediakan dokumen lengkap kelahiran yang diuruskan oleh pengamal undang-undang dan doktor sebelum diserahkan untuk pendaftaran di JPN,” katanya.
“Sebaik sijil kelahiran diperoleh, pemohon (pemaklum) akan menyerahkannya kepada ejen untuk dijual di pasaran gelap, termasuk kepada ibu bapa atau penjaga yang telah menunggu dan bersedia membayar bagi mendapatkan dokumen tersebut.”
Sumber turut memaklumkan, harga sijil kelahiran yang dijual tidak tetap namun dianggarkan antara RM10,000 hingga RM50,000, bergantung kepada permintaan.
Menurutnya, kewarganegaraan asal bayi terlibat sukar dipastikan kerana urus niaga tersebut dilakukan tanpa pengetahuan pemaklum.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat pembabitan ejen dan orang tengah dalam sindiket ini,” katanya.
“Setakat ini, menerusi Op Outlander, hanya seorang pegawai agensi kerajaan ditahan kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket mengeluarkan sijil kelahiran terbabit.”
Menurut sumber, lapan individu masih direman selepas ditahan melalui Op Birth dan Op Outlander, manakala dua dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh reman tamat pada 16 Mac lepas.
Katanya, SPRM membekukan 11 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM100,000, serta menyita 30 dokumen berkaitan menerusi Op Outlander.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Idris Zaharudin yang mengesahkan perkara itu berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pada 11 Mac lepas, SPRM menahan beberapa individu berusia 20an hingga 70an menerusi Op Outlander dan Op Birth di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang serta beberapa ejen dan pemohon daftar kelahiran yang dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2013 hingga 2018, serta 2023 hingga 2025.
Mereka didakwa menerima dan memberi rasuah, termasuk menyediakan serta mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu.