
CEO Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Norazman Mahmud, berkata pesawat MH720 selamat mendarat di Landasan 32R KLIA pada 6.17 petang selepas isyarat kecemasan daripada pesawat Boeing 737-800 itu diterima pada 6.02 petang.
“Kami memberi keutamaan kepada pesawat itu dengan membenarkannya mendarat secepat mungkin,” katanya kepada FMT.
Malaysia Airlines dalam kenyataan kemudiannya mengesahkan bahawa penerbangan tersebut mengaktifkan tindak balas kecemasan akibat kebakaran di ruang kargo.
“Sebaik mendarat, pesawat diarahkan ke kawasan terpencil, di mana semua penumpang dan kru selamat diturunkan.”
“Pasukan bomba dan juruteknik berada di lokasi bagi menilai keadaan dengan teliti sebelum membuka pintu kargo,” menurut kenyataan itu.
Pada 14 Mac lalu, sebuah pesawat Malaysia Airlines dari Manila ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik selepas salah satu enjinnya dilaporkan terbakar.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu apabila pesawat MH705 selamat kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila.