Pemuda PH komited teruskan usaha mansuh Auku

Pemuda PH komited teruskan usaha mansuh Auku

Pemuda Pakatan Harapan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi merangka gerak kerja usaha memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

universiti
Pemuda PH percaya pemansuhan Auku langkah penting dalam memberikan mahasiswa kebebasan akademik dan politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan suatu jawatankuasa khas bagi meneruskan usaha memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Ketua Penerangan Ammar Atan berkata jawatankuasa itu akan merangka gerak kerja usaha memansuhkan Auku, sebagai sebahagian agenda reformasi sistem pendidikan tinggi.

“Pemuda PH percaya pemansuhan Auku langkah penting dalam mengangkat martabat mahasiswa serta memberikan mereka kebebasan akademik dan politik yang lebih luas,” menurut kenyataan.

Pemansuhan Auku terkandung dalam manifesto PH bagi PRU14 dan PRU15.

Pada 18 Mac tahun lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir beritahu Dewan Rakyat bahawa menambahbaik seksyen-seksyen Auku yang dibangkitkan pemegang taruh adalah lebih realistik berbanding pemansuhan.

Jelasnya, pemansuhan Auku bakal menyebabkan pewujudan perlembagaan baharu di setiap universiti awam, yang akan mengambil masa lama selain mengganggu operasi.

Pada hari sama, Dewan Rakyat meluluskan pindaan terbaharu Auku, yang antara lain menambahbaik Seksyen 15A bagi membenarkan majlis perwakilan pelajar dan badan pelajar memungut wang dan menerima sumbangan, tertakluk pada peraturan dan undang-undang.

Sebelum itu, pada 4 Mac, gerakan mahasiswa pada sidang media di Parlimen menuntut kerajaan merangka pindaan baharu berdasarkan tuntutan mahasiswa, lapor Sinar Harian.

Pada 10 Dis 2018, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Auku membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.