Datang ke Bayan Baru lihat projek pembangunan semula bantu Melayu, kata Ahli Parlimen

Datang ke Bayan Baru lihat projek pembangunan semula bantu Melayu, kata Ahli Parlimen

Sim Tze Tzin sedia beri penjelasan kepada ahli politik dakwa orang Melayu dipinggirkan menerusi Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta URA).

Ramai penduduk asal Flat Mahsuri, Bayan Baru telah meninggalkan kediaman itu yang telah berusia lebih 40 tahun dan usang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bayan Baru menjemput ahli politik mendakwa orang Melayu akan dipinggirkan susulan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta URA) supaya datang ke kawasan diwakilinya.

Sim Tze Tzin berkata ini kerana beliau mahu menunjukkan kepada pihak terbabit bagaimana projek Pembangunan Semula Bandar Mahsuri di kawasannya bakal membantu orang Melayu mendapat rumah lebih baik dan selesa secara percuma.

Sim Tze Tzin.

Menurutnya, flat kos rendah berusia 40 tahun itu telah usang dengan satu daripada enam blok lima tingkat berkenaan telah dirobohkan kerana struktur tidak lagi kukuh.

Jelasnya, kini 70% penghuninya adalah pekerja asing dengan pemilik asal terdiri 55% orang Melayu, Cina (35%) dan India (10%) telah berpindah keluar.

“Realitinya, orang Melayu, Cina dan India miskin telah dipinggirkan tanpa Akta Pembangunan Semula.

“Bagaimanakah Akta Pembaharuan Semula Bandar akan membantu memberi perumahan kepada penduduk tempatan terutamanya orang Melayu?

“Dalam Projek Pembaharuan Semula Bandar Mahsuri, pemilik asal diberi satu flat (asal 350 kaki persegi) ganti dengan flat baru berkeluasan 850 kaki persegi secara percuma,” katanya di Facebook.

Menurut wakil rakyat PKR itu, rumah dianggarkan bernilai RM400,000 berkenaan juga dilengkapi kemudahan lif, surau, taman permainan dan parkir.

Jelasnya, penduduk dari pelbagai latar belakang menyokong projek itu dan berharap Akta Ura akan mempercepatkannya.

“Tanpa Akta Ura, realitinya perumahan mereka didiami pekerja asing. Dengan adanya URA, pemilik asal dan generasi kedua akan kembali ke tempat asal,” katanya menegur politikus cuba menangguk di air keruh ke atas isu berkenaan.

“Saya menjemput pengkritik-pengkritik Akta URA datang ke Parlimen Bayan Baru, saya akan menerangkan projek Mahsuri kepada mereka.

“Biarlah fakta berbicara bukan memainkan sentimen,” katanya.

Antara pihak yang keras menentang akta itu ialah Pemuda PAS yang menyuarakan hasrat untuk berhimpun di jalanan.

Timbalan Ketua Pemuda Hafez Sabri menyifatkan cadangan undang-undang itu sebagai ‘penjajahan moden’, selain mendakwa ia akan menyebabkan golongan miskin diusir dari tanah mereka seperti rakyat Palestin.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) akan menentang RUU yang akan dibentangkan Jun ini kerana boleh mengganggu keharmonian.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagaimanapun menafikan RUU itu disasarkan kepada kaum tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.