
Sentimen ini boleh dilihat melalui prestasi buruk bekas pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang berada di tempat ke-26 daripada 30 ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Keputusan itu dikatakan mencerminkan desakan pemimpin muda mahu mengubah parti, yang sebelum ini terkenal dengan gaya politik “berjuang di jalanan”.
Orang dalam parti berpendapat pelantikan Guan Eng sebagai penasihat ialah cara penuh hormat mengeluarkannya daripada peranan pengerusi dan menghormati dedikasi serta pengorbanan seumur hidup bapanya, Kit Siang dalam membina parti.
“Langkah untuk memastikan Guan Eng tidak menjadi pengerusi berjalan mengikut perancangan. Mereka tidak mahu beliau disingkirkan melalui undian demi menjaga air mukanya.
“Berada di tempat ke-26 cukup untuk menunjukkan DAP mahu gaya kepimpinan baharu dan kurang angkuh,” kata seorang pemimpin kanan.
Beliau mengaitkan prestasi buruk Guan Eng dengan serangan terbukanya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang dianggap ramai sebagai penggunaan taktik keras tidak perlu.
Guan Eng yang bukan lagi pengerusi DAP, tidak akan berada dalam jawatankuasa lima anggota bagi memilih calon pilihan raya dan berunding dengan parti komponen untuk pembahagian kerusi. Peranan itu kini dipegang penggantinya, Gobind Singh Deo.
Dua lagi ahli jawatankuasa berkuasa tinggi itu ialah Setiausaha Agung, Loke Siew Fook dan Timbalan Pengerusi, Nga Kor Ming yang mempertahankan jawatan mereka untuk tiga tahun lagi.
Seorang lagi pemimpin kanan parti berkata, ada kemungkinan Guan Eng diminta berundur pada PRU16, yang perlu diadakan selewat-lewatnya Februari 2028, mungkin menamatkan kerjaya politiknya.
“Ini bagi mengelakkan beliau dicalonkan, memandangkan kes mahkamahnya dijangka tidak akan selesai sebelum PRU16. Dan ini yang diingini rakan kongsi DAP, PKR dan Umno.”
Guan Eng kini Ahli Parlimen Bagan dan Adun Air Puteh di Pulau Pinang.
Tetapi, beliau berkata, ada kemungkinan kecil parti itu menawarkan kerusi Parlimen kepadanya buat penggal terakhir sebagai penghormatan terhadap pengorbanan Kit Siang dan beliau untuk parti.
Kemunculan DAP baharu?
Dengan adiknya, Hui Ying turut tersingkir, CEC baharu yang bebas daripada pengaruh keluarga Lim bersedia membawa DAP ke arah berbeza sama sekali, mungkin menjadikannya lebih mesra dan boleh diterima, khasnya untuk orang Melayu.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata mandat jelas diberikan kepada Loke, Gobind dan Nga untuk menunjukkan DAP benar-benar parti berbilang kaum yang akan mula mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi.
“Tanpa Guan Eng dalam arus perdana, Loke boleh memfokuskan pemimpin eksekutifnya tanpa sebarang campur tangan. Ini peluang terbaik DAP menonjolkan dirinya sebagai parti berbilang kaum.
“Ada yang kata ini mungkin menjadikan DAP lebih lemah dari segi rundingan dengan Umno dan PKR, tetapi parti itu sudah menganggotai kerajaan persekutuan dua kali dan kerajaan negeri berkali-kali dan mereka telah menguruskan perkara ini.
“Ideanya ialah tidak bersikap angkuh kerana gaya kepimpinan itu tidak berkesan,” katanya kepada FMT.
Santiago berkata. pasukan baharu itu berdepan cabaran besar untuk memenangi semula sokongan sebahagian besar pengundi India yang hilang kepercayaan terhadap parti itu.
Mereka juga perlu menangani kehilangan sebahagian sokongan pengundi Cina dan peningkatan jumlah pengundi Melayu menganggap parti itu sebagai parti Cina.
“Pemilihan empat ahli India dan dua ahli Melayu dalam CEC mungkin tidak kelihatan meyakinkan, tetapi muka baharu ini memberi banyak harapan. Saya percaya DAP baharu sedang muncul.”