2 beradik dikhuatiri lemas di Batang Mukah

2 beradik dikhuatiri lemas di Batang Mukah

Dexper Kiu Kuang Wei dan adik perempuannya Susie Kiu dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai.

drowning lemas
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Sarawak, mereka menerima laporan kejadian itu pada 4.23 petang, sebelum menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian. (Gambar Freepik)
MUKAH:
Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Batang Mukah berhampiran Jalan Kampung Bedanga, kira-kira jam 3.50 petang tadi.

Mangsa Dexper Kiu Kuang Wei, 10, dan adik perempuannya Susie Kiu, 7, dikatakan tiba-tiba tenggelam dan hilang dibawa arus.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Sarawak, mereka menerima laporan kejadian itu pada 4.23 petang, sebelum menggerakkan pasukan penyelamat daripada Balai Bomba Mukah ke lokasi kejadian.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 4.33 petang dan operasi pencarian segera dilakukan menggunakan kaedah pencarian atas permukaan air serta grapping iron.

“Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada jam 6.35 petang selepas mangsa gagal ditemui,” kata jurucakap pusat itu dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap itu, ibu mangsa cuba menyelamatkan kedua-dua anaknya tetapi usaha itu tidak berjaya, kerana mereka tenggelam dengan cepat akibat arus deras.

Operasi mencari dan menyelamat akan disambung semula pada pagi esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.