2 pemilik syarikat, kerani ditahan disyaki rasuah pegawai kerajaan

2 pemilik syarikat, kerani ditahan disyaki rasuah pegawai kerajaan

Ketiga-tiga suspek disyaki terbabit sindiket percepat proses mohon taraf warganegara Malaysia oleh warga asing.

macc tahan 2 pemilik syarikat permohonan warganegara
Dua pemilik syarikat dibawa SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
PETALING JAYA:
Dua pemilik syarikat dan seorang kerani ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit sindiket merasuah pegawai jabatan kerajaan bagi mempercepatkan proses permohonan mendapatkan taraf warganegara Malaysia oleh pemohon warga asing.

Perintah reman selama lima hari sehingga 20 Mac depan dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Qasiratul Jannah Usmani Othman terhadap kerani lelaki berusia lingkungan 20-an selepas permohonan dibuat SPRM semalam.

Manakala kedua-dua suspek lelaki berjawatan pengarah syarikat berusia lingkungan 30-an direman selama empat hari sehingga 20 Mac depan selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM pagi tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek ditahan antara pukul 1 pagi hingga 1.30 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

“Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek menerusi Op Fastlane ini adalah susulan Op Outlander yang dijalankan pada 11 Mac lalu melibatkan sindiket merasuah pegawai jabatan kerajaan bagi mempercepat proses permohonan taraf kewarganegaraan.

“Mereka dipercayai membayar rasuah antara RM5,000 hingga mencecah RM150,000 bagi satu permohonan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Idris Zaharuddin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.