
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata latihan skala kecil ini bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan agensi terlibat, termasuk polis, PUO dan Hospital Raja Permaisuri Bainun dalam mengurus serta mengendalikan krisis keganasan seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Beliau berkata, kehadiran sejumlah anggota polis, kenderaan pasukan keselamatan dan kesihatan, termasuk helikopter Pasukan Gerakan Udara polis di kawasan politeknik sebahagian daripada latihan itu.
“Latihan seumpama ini dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk menguji keberkesanan pelan tindakan pengurusan krisis keganasan bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Orang ramai dinasihatkan tidak panik dan menyebarkan spekulasi tidak tepat berkaitan kejadian dan latihan ini,” katanya dalam kenyataan.
Pagi tadi, warga PUO gempar apabila sekumpulan bersenjata “menyerang” dan menahan seorang pensyarah serta beberapa pelajar sebagai tebusan.
“Pusat Kawalan Daerah (DCC) menerima panggilan berkaitan serangan kumpulan bersenjata daripada pegawai keselamatan PUO pada 9.04 pagi memaklumkan serangan oleh kumpulan belum dikenal pasti yang menahan pensyarah dan pelajar sebagai tebusan.
“Laporan ini merupakan permulaan senario latihan dinamakan Ex Kurung.”
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial menunjukkan insiden serangan pengganas di PUO, selain turut berlaku tembakan dan sekumpulan pelajar dijadikan tebusan.
Ia termasuk kemas kini daripada ibu bapa pelajar di institusi itu.