RM14.67 juta aset berkait 1MDB dipulihkan

RM14.67 juta aset berkait 1MDB dipulihkan

SPRM berkata dana itu dikembalikan daripada seorang dikaitkan dengan Jho Low dan seorang bekas pegawai bank Singapura.

1mdb
Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemulihan aset 1MDB setakat ini adalah sebanyak RM29.75 bilion iaitu 70% daripada kira-kira RM42 billion yang dipercayai telah diselewengkan, kata SPRM. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memulihkan RM14.67 juta aset berkait 1MDB daripada seorang rakan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan seorang bekas pegawai bank Singapura.

SPRM berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan pemulihan aset 1MDB setakat ini adalah sebanyak RM29.75 bilion iaitu 70% daripada kira-kira RM42 billion yang dipercayai telah diselewengkan.

Katanya, jumlah aset yang dikembalikan melibatkan mata wang asing iaitu SGD1.38 juta, AUD3.181 juta, NZD344,163 dan USD85,868.

Sebanyak RM12.97 juta dikembalikan hasil daripada penjualan hartanah serta pemindahan dana daripada akaun syarikat Tan Kim Loong, seorang warga Malaysia yang dikaitkan dengan Low atau dikenali sebagai Jho Low.

Sejumlah RM1.69 juta lagi dipulihkan daripada bekas pegawai Bank BSI Yak Yew Chee, yang disabitkan kesalahan di Singapura kerana penglibatannya dalam kes 1MDB.

SPRM berkata, dana yang diperoleh ini dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

SPRM terus komited dalam usaha mendapatkan semula aset negara yang diseleweng serta bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa dalam menangani kes-kes berkaitan rasuah dan jenayah kewangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.