Pembangunan ekonomi kunci bentuk pakatan di Sabah, kata Salleh

Pembangunan ekonomi kunci bentuk pakatan di Sabah, kata Salleh

Bekas ketua menteri itu berkata isu kos sara hidup, pengangguran dan infrastruktur kebimbangan utama rakyat Sabah.

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak berkata sebarang pakatan dibentuk untuk mentadbir Sabah perlu memfokuskan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh sumber pendapatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pembangunan ekonomi Sabah perlu menjadi keutamaan bagi sebarang pakatan dibentuk untuk mentadbir negeri itu selepas PRN akan datang, kata bekas ketua menteri Salleh Said Keruak.

Menurutnya pakatan kukuh perlu memfokuskan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh sumber pendapatan Sabah.

“Penyelesaian segera diperlukan untuk kebimbangan mendesak. Rakyat mengharapkan tindakan pantas terhadap isu kos sara hidup, pengangguran serta infrastruktur, (dan) pakatan mesti mampu memberikan hasil dengan cepat.

“Menstruktur semula ekonomi untuk pertumbuhan jangka panjang adalah kritikal.

“Sabah perlu mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan persekutuan dan membangunkan model ekonomi mampan buat generasi akan datang,” katanya di Facebook.

Selain pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur, Adun Usukan itu berkata pakatan yang mentadbir negeri selepas PRN akan datang perlu memastikan keterangkuman semua komuniti dan berusaha ke arah mengukuhkan hak serta kemerdekaan ekonomi Sabah.

Sambil menekankan kestabilan sebagai kunci bagi memastikan rakyat Sabah mempunyai keyakinan terhadap kerajaan negeri, Salleh berkata, pakatan yang kukuh perlu mempunyai proses membuat keputusan berstruktur, kepimpinan jelas dan hala tuju dasar dikongsi untuk memastikan kelangsungan jangka panjangnya.

Bendahari Umno Sabah itu berkata pakatan berdasarkan kesenangan politik perlu dielakkan.

Walaupun kesenangan politik jangka pendek mungkin boleh memenangi pilihan raya, Salleh memberi amaran pakatan sedemikian sering menyebabkan perebutan kuasa dalaman dan tadbir urus lemah.

“Memenangi pilihan raya bukan matlamat akhir. Persoalan sebenar ialah: apa yang akan dilakukan pakatan selepas menang? Pelan hala tuju yang jelas untuk tadbir urus adalah penting.

“(Membentuk) pakatan tidak patut hanya untuk memenangi pilihan raya. Ia perlu dibina berdasarkan visi jelas, dasar kukuh dan kestabilan jangka panjang bagi mentadbir dengan berkesan.

“Pakatan yang kukuh dan dirancang dengan baik bukan saja akan memenangi pilihan raya, tetapi juga memastikan kestabilan politik serta ekonomi berterusan untuk rakyat.”

PRN Sabah perlu diadakan sebelum akhir tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.