Komen nasib negara ditentukan minoriti, pemimpin DAP bidas PN

Komen nasib negara ditentukan minoriti, pemimpin DAP bidas PN

Sheikh Umar Bagharib Ali sifatkan kenyataan Afnan Hamimi Taib Azamudden berhubung isu mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal sebagai mengelirukan.

Sheikh Umar Bagharib Ali dakwa Afnan Hamimi Taib Azamudden cuba memberi persepsi negatif terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP Johor membidas Perikatan Nasional (PN) menimbulkan ketakutan tidak berasas berhubung isu mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Naib Ketuanya Sheikh Umar Bagharib Ali mendakwa antara pemimpin pembangkang membuat tuduhan tidak berasas itu termasuk Ketua Pemudanya Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Dakwanya, Ahli Parlimen Alor Setar itu telah menulis di Facebook: ‘Inilah keadaan negara kita sekarang. Nasib kita yang majoriti ditentukan oleh mereka yang asalnya minoriti’.

Menurutnya, pandangan itu cuba persepsi negatif terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berhubung sokongan parti berkenaan untuk meminda perlembagaan bagi mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.

“Sama ada Afnan sengaja hendak mencipta propaganda negatif murahan atau beliau benar-benar naif dan bebal?

“Hakikatnya apa yang dinyatakan Loke dan dipersetujui Anwar Ibrahim bertujuan mengelakkan pentadbiran seseorang perdana menteri pada tempoh terlalu lama bertukar menjadi diktator dan kuku besi.

“Ia juga bagi mengelak pembolotan akibat pemusatan kuasa yang terlalu panjang,” katanya.

Bekas Adun Paloh itu berkata pendekatan itu bukan baharu dan telah dilaksanakan negara lain seperti Indonesia dan Amerika Syarikat.

Namun jelasnya, dasar itu perlu diperkuat dengan pembaharuan lain contohnya pengasingan kuasa kehakiman agar wujud semak imbang yang lebih berkesan.

“Sebab itu Loke turut nyatakan sokongan terhadap pindaan Perlembagaan untuk memisahkan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya,” katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) menyokong cadangan sedemikian tetapi menekankan keperluan berunding dengan parti lain mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.