Kerajaan cadang pinda Akta Finas seiring perkembangan industri

Kerajaan cadang pinda Akta Finas seiring perkembangan industri

Pindaan akan turut tangani perubahan susulan kemunculan platform strim dalam talian, kata menteri komunikasi.

Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Akta Finas wajar dipinda berikutan cabaran semasa dihadapi penggiat filem.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Komunikasi akan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981, mengambil kira perubahan dalam industri perfileman, kata Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi itu berkata, pindaan itu akan menangani cabaran industri, termasuk perubahan yang dibawa oleh kemunculan platform penstriman dalam talian.

“Perubahan besar sedang berlaku termasuk dengan penstriman langsung, maka saya lihat wajar kita usahakan pindaan ke atas Akta Finas bagi mencerminkan perubahan yang sedang berlaku,” katanya.

Fahmi berkata sedemikian kepada pemberita di samping program Raya Sama-Sama, yang menyaksikan 76 artis veteran dan wakil media yang kehilangan pekerjaan menerima bantuan wang tunai dan baju raya daripada kementerian.

Kementerian Komunikasi turut menyumbang RM50,000 kepada Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia.

Pada acara itu, pemangku presiden persatuan Sandakiah Aziz mengemukakan 10 cadangan kepada kementerian bagi artis veteran, termasuk meminta lebih banyak peluang untuk mereka membuat persembahan dalam program RTM.

Sandakiah juga mencadangkan skim pencen khusus untuk artis, dana industri kreatif diwujudkan, dan agar artis diberi keutamaan di hospital kerajaan.

Fahmi berkata, beliau akan meneliti cadangan itu dan bertemu persatuan minggu depan.

“Kita akan lihat bagaimana kerajaan boleh bantu mereka,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.