
Sebelum ini, pakar bedah saraf yang dijadualkan merawat mereka digantung tugas sejak 10 Jan lalu susulan dakwaan gangguan seksual.
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, berkata laporan lengkap berkaitan kes itu sudah diterimanya dan tindakan susulan akan dijalankan pihak jabatan universiti.
“Manakala hal berkaitan dengan pesakit atau mereka yang memerlukan rawatan maka pihak universiti telah membuat langkah-langkah untuk mereka ‘cover’ balik kerja-kerja yang ada.
“Mungkin kalau bukan pakar itu, mereka akan dapatkan pakar-pakar lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut dan ini telahpun dilakukan,” katanya pada sidang media selepas program Ihya Ramadan anjuran KPT.
Pada 3 Mac, FMT melaporkan seramai 17 kanak-kanak yang menghidap spina bifida kini berdepan masa depan tidak menentu selepas pakar bedah saraf dijadualkan merawat mereka digantung tugas sejak tiga bulan lalu.
Penyelidik perubatan, Noraishah Mydin Abdul Aziz, yang merupakan sebahagian daripada pasukan pakar merawat 30 kanak-kanak spina bifida berkata penangguhan pembedahan boleh memberi kesan sepanjang hayat kepada mereka.