Hari ke-4, Ismail Sabri disoal siasat SPRM hampir 7 jam

Hari ke-4, Ismail Sabri disoal siasat SPRM hampir 7 jam

Bekas perdana menteri itu dijangka hadir semula di ibu pejabat SPRM esok.

ismail sabri
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 4.30 petang tadi.
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4.30 petang tadi, setelah disoal siasat hampir tujuh jam.

Ahli Parlimen Bera itu tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira 9.50 pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, agensi antirasuah itu dalam proses melengkapkan siasatan dan masih memerlukan Ismail Sabri untuk membantu siasatan.

Beliau dijangka kembali ke ibu pejabat SPRM pada 10 pagi esok.

Bekas naib presiden Umno itu disoal siasat oleh SPRM sebagai suspek berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan empat pegawai kanannya.

SPRM sebelum ni berkata, kira-kira RM170 juta wang tunai dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dirampas dalam serbuan di kediaman empat pegawai terbabit, dan tiga premis lain yang dipercayai digunakan sebagai ‘safe house’.

Terdahulu, Ismail Sabri yang dimasukkan ke hospital kerana masalah tekanan darah tidak dapat menghadiri dua sesi bersama SPRM pada 5 dan 7 Mac, selepas mengemukakan sijil sakit.

Setelah tempoh sijil sakitnya tamat, beliau mula disoal siasat oleh SPRM pada Khamis lepas.

Beliau mengisytiharkan hartanya kepada agensi antirasuah itu pada 10 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.