DAP akan senasib dengan MCA, kata Puad

DAP akan senasib dengan MCA, kata Puad

Ahli MKT Umno berkata, rakyat termasuk ahli sendiri kini dapat nilai kebolehan atau kelemahan parti selepas jadi kerajaan.

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi berpesan agar tidak cakap besar sebelum jadi kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DAP akan menerima nasib yang sama seperti MCA sebagai parti pemerintah dan mengalami kemerosotan sokongan serta pengaruh, kata pemimpin Umno Puad Zarkashi.

Puad berkata, rakyat termasuk ahli DAP sendiri kini dapat menilai kebolehan atau prestasi parti itu selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kelemahannya juga semakin mudah dikesan, tambahnya.

Merujuk kepada keputusan pemilihan DAP semalam, Puad berkata, sokongan terhadap pemimpin veteran seperti Loke Siew Fook dan Lim Guan Eng merosot walaupun masih berjaya mengekalkan kedudukan di Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Loke memperoleh undi ketiga tertinggi dalam pemilihan CEC 2022 dengan 1,625 undi, tetapi jatuh ke tempat kelima selepas mengumpul 2,508 undi semalam.

Lim pula turun daripada kedudukan kelapan pada 2022 (1,311 undi) kepada tempat ke-26 dalam pemilihan kali ini, meskipun meraih 1,719 undi.

Tambah Puad, seorang lagi veteran DAP, Teresa Kok, langsung gagal menempatkan diri dalam senarai 30 ahli CEC.

“Kelemahan DAP bukan sahaja dinilai oleh rakyat tetapi oleh ahli partinya. Itu cabaran jadi parti pemerintah. Ahli parti sendiri akan nampak hipokrasi pemimpinnya.

“Cakap serupa bikin atau tidak? Sebab itu, sebelum jadi kerajaan jangan cakap besar,” kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu dalam satu hantaran di Facebook.

Pemilihan CEC DAP kali ini dilihat sebagai pertembungan antara pemimpin veteran seperti Lim dan golongan pemimpin muda serta lebih sederhana yang mahu memperluas daya tarikan DAP melangkaui penyokong tradisinya.

Kumpulan yang menyokong Lim sebelum ini mendakwa usaha tersebut akan menjadikan DAP sebagai ‘MCA 2.0’, selain menuduh PKR dan Umno cuba menggugat konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan parti itu.

Sabtu lepas, bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker berkata, DAP tidak boleh mengulangi kesilapan MCA dengan memilih pemimpin ‘pak turut’ demi menjamin kedudukan mereka dalam kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.