Baca buku ‘Membangun Negara Madani’, jangan kritik semberono, pembangkang diberitahu

Baca buku ‘Membangun Negara Madani’, jangan kritik semberono, pembangkang diberitahu

Peringatan itu diberikan Anwar Ibrahim kepada Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan cadangan mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

anwar
Anwar Ibrahim menegaskan langkah mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri tidak bercanggah prinsip Perlembagaan Persekutuan.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menasihatkan Ahli Parlimen yang mempersoal cadangan mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal supaya membaca buku tulisannya bertajuk ‘Membangun Negara Madani’ sebelum mengkritik semberono.

Tanpa menamakan mana-mana wakil rakyat, pegawainya Tunku Nashrul Abaidah berkata untuk lebih memahami perdana menteri meminta mereka merujuk muka surat 181 bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik’.

Menurut setiausaha akhbar kanan perdana menteri itu, Anwar mengingatkan segelintir pihak daripada blok pembangkang supaya tidak menjadikan niat murni tersebut sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal.

“Mengehadkan tempoh jawatan itu nyata tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan malah langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara.

“Perdana menteri meminta mana-mana Ahli Parlimen mempersoal perkara ini supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.

“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim yakni ‘Membangun Negara Madani’. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Justeru, perdana menteri menyarankannya dibahaskan dengan sihat dan penuh rasa tanggungjawab serta memandang kepada cabaran masa hadapan selain menjemput semua pihak memberikan input ke arah sebuah sistem telus dan adil.”

Kenyataan itu menyusul hantaran Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Afnan Hamimi Taib Azamudden, di Facebook yang menulis: ‘Inilah keadaan negara kita sekarang. Nasib kita yang majoriti ditentukan oleh mereka yang asalnya minoriti’.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook semalam berhubung sokongan parti berkenaan untuk meminda perlembagaan bagi mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) menyokong cadangan sedemikian tetapi menekankan keperluan berunding dengan parti lain mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.