
Lim berkata beliau menghormati keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) hari ini. Dalam persaingan itu, Lim yang berada pada kedudukan ke-26 berdasarkan kiraan undi.
“Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh wakil-wakil. Seperti yang saya kata sebelum ini, saya mahu ahli parti yang tentukan nasib saya, bukannya orang luar.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang mengundi saya. Sekarang kita perlu bersatu di bawah pimpinan Loke,” katanya, pada sidang media selepas Loke mengumumkan saf pemimpin DAP bagi penggal 2025-2028.
Loke sekali lagi diberi amanah sebagai setiausaha agung manakala jawatan pengerusi yang sebelum ini disandang Lim kini digalas oleh Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo.
Gobind memperoleh undi terbanyak dalam persaingan CEC.
Lim menjadi pengerusi DAP pada 2022 selepas menyerahkan jawatan setiausaha agung kepada Loke, selepas 17 tahun berkhidmat di kerusi tersebut.
Sementara itu, Loke menyuarakan keyakinan pada saf pemimpin DAP baharu, kerana ia membuka peluang kepimpinan kepada mereka yang terpilih.
“Kekuatan parti terletak pada keseluruhan kepimpinan dan keseluruhan ahli. Kita bekerja sebagai satu pasukan.
“Perubahan ini dibuat bagi memastikan lebih ramai pemimpin diberi peluang bekerja untuk parti dan menunjukkan kualiti kepimpinan mereka,” katanya.