Menteri gesa guru pondok didik masyarakat jauhi perbuatan hina agama

Menteri gesa guru pondok didik masyarakat jauhi perbuatan hina agama

Mohd Na’im Mokhtar berkata ilmuan Islam berperanan penting mendidik memandangkan mereka diberikan kepercayaan dan harapan tinggi masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dalam program Ziarah Santun Du’at Al Falah di Pondok Mustaq Sungai Jagong, Pendang, Kedah. (Gambar Bernama)
PENDANG:
Guru di institusi pondok dan asatizah perlu memainkan peranan mendidik masyarakat agar menjauhi sebarang perbuatan menghina agama yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata golongan ilmuan Islam khususnya guru pondok berperanan penting dalam mendidik memandangkan mereka diberikan kepercayaan dan harapan tinggi oleh masyarakat.

“Kalau guru-guru pondok dapat mainkan peranan untuk mengajak masyarakat jangan sesekali terlibat dalam sebarang bentuk menghina mana-mana agama, insya-Allah kita boleh bina keamanan dalam negara kita,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program Ziarah Santun Du’at Al Falah di Pondok Mustaq Sungai Jagong, dekat sini, semalam.

Dalam konteks penghinaan terhadap agama Islam, Na’im berkata pihaknya terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam memastikan tindakan tegas dapat diambil.

Beliau turut mengajak seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam bersama membina kesatuan dan perpaduan serta mengelak daripada terbabit dalam sebarang bentuk penghinaan agama.

“Sebab kalau berlaku huru-hara disebabkan penghinaan agama dan sebagainya, tidak memberi keuntungan kepada sesiapa dan kita bimbang ada segelintir yang cuba mengambil peluang menimbulkan kekecohan dan keseteruan dalam masyarakat di negara kita,” katanya.

Terdahulu, pada program itu Na’im mengajak golongan asatizah untuk memainkan peranan dalam membawa mesej ‘Membangun Malaysia Madani’ serta memastikan penyampaian dakwah selari dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Na’im kemudian turut menghadiri beberapa program lain di pondok tersebut serta menyampaikan sumbangan berjumlah RM365,000 kepada Pondok Bukit Jagong serta bantuan kepada asnaf, warga emas dan ibu tunggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.