Kita perlu kerja keras, pengerusi DAP baharu beritahu CEC

Kita perlu kerja keras, pengerusi DAP baharu beritahu CEC

Gobind Singh Deo sedar bahawa jawatan pengerusi bermakna memikul tanggungjawab besar.

kongres ke 18 dap
Barisan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP baharu seusai pemilihan hari ini.
SHAH ALAM:
Pengerusi DAP yang baharu, Gobind Singh Deo, menggesa ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) untuk mara dan bekerja keras memperkukuh parti.

Gobind berkata DAP berdepan cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab dan memenuhi harapan rakyat, memandangkan ia berada dalam kerajaan persekutuan dan negeri.

“Bagi DAP, sebagai sebahagian daripada kerajaan pusat dan negeri, banyak yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan parti.

“Ini akan jadi tumpuan saya. Marilah kita terus bekerja keras untuk menyampaikan apa yang rakyat harapkan daripada kita. Mari kita mara,” katanya, dan mengucapkan terima kasih kepada perwakilan kerana memilih beliau.

Ahli Parlimen Damansara itu juga sedar bahawa jawatan pengerusi, yang sebelum ini disandang oleh Lim Guan Eng, seorang veteran parti, bermakna memikul tanggungjawab yang besar.

“Saya beritahu pasukan baharu (CEC) bahawa kita mesti melihat ke depan supaya kita boleh bekerjasama untuk mengukuhkan parti dan mencorak masa depan yang lebih cerah untuk DAP,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Gobind meraih undian terbanyak dalam pemilihan CEC bagi penggal 2025-2028, dengan 2,785 undi.

Kebangkitan ini menyusuli kegagalan beliau mendapat tempat dalam sidang 15 anggota jawatankuasa DAP Selangor, pada pemilihan November, yang menyaksikan dia sekadar peroleh 675 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.