
Beberapa perwakilan ditinjau FMT berkata, Pulau Pinang harus terus memainkan peranan penting dalam DAP, memandangkan legasinya dalam kebangkitan parti itu.
Mereka berkata, penguasaan Pulau Pinang dalam kepimpinan negara kelihatan semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini manakala pemimpin Selangor dan Perak semakin berpengaruh.
Jangan ketepi Pulau Pinang
Meskipun dinamik berubah, Timbalan Ketua Pemuda Pulau Pinang, Vijay Pillay, berkata negeri itu akan mempertahankan kedudukannya dalam CEC walaupun beberapa pemimpin veteran mengundur diri.
“Ada persaingan daripada pemimpin Selangor dan Perak, tetapi dengan tokoh seperti Chow Kon Yeow dan Steven Sim bertanding, kami menjangkakan Pulau Pinang akan terus mencorak hala tuju DAP,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Pemuda Pulau Pinang, Farid Maulud, berkata perwakilan dalam CEC akan beri manfaat kepada negerinya.
“Memandangkan Pulau Pinang diterajui DAP dan mempunyai bilangan Adun DAP tertinggi, adalah penting pemimpin CEC dari Pulau Pinang mempunyai suara yang kuat dalam dasar negara,” katanya.
Farid menambah mempunyai lebih ramai pemimpin Pulau Pinang dalam CEC akan membantu DAP mengembangkan pengaruh, khususnya di kawasan majoriti Melayu.
“Dengan pemimpin Pulau Pinang yang kuat dalam CEC, kita boleh desak untuk mendapatkan lebih banyak kerusi DAP pada pilihan raya akan datang dan melepasi status quo,” katanya.
Farid percaya jika Chow diberi jawatan kepimpinan utama, beliau boleh bantu meningkatkan pembangunan Pulau Pinang, terutama dalam mendapatkan pembiayaan persekutuan untuk projek yang belum selesai.
“Kita masih mempunyai beberapa projek (prasarana) yang belum selesai, daripada kerja-kerja jalan hingga pembangunan lain, yang memerlukan pembiayaan tambahan daripada kerajaan persekutuan. Jadi, kita harap ini dapat membantu Pulau Pinang,” katanya.
Akar umbi tak puas hati DAP lemah
Ketua Cawangan Happy Valley, R Ganeson, mendakwa pemimpin DAP kelihatan hilang semangat sejak menyertai kerajaan perpaduan.
“Pemimpin DAP dulu memperjuangkan hak rakyat. Kini, mereka terlalu lembut dan terlalu takut untuk bersuara,” katanya.
Ganeson beri amaran jika DAP terus berhati-hati, ia berisiko kehilangan keyakinan pengundi pada PRU akan datang.
“Jika DAP terus terlalu berhati-hati, berjinjit-jijit dan berdiam diri pada masa yang salah, kita berisiko kehilangan sokongan dalam PRU akan datang.
“Perwakilan perlu tuntut kepimpinan yang lebih kuat yang sanggup memperjuangkan kepentingan Pulau Pinang,” katanya.
Adakah Pulau Pinang akan kekalkan pengaruh?
Satu lagi faktor utama dalam pemilihan kali ini ialah peranan Pengerusi Lim Guan Eng dalam DAP pada masa depan. Walaupun beberapa perwakilan Pulau Pinang setia kepadanya, pihak lain percaya sudah tiba masanya untuk buka lembaran baharu dan menyahkan tuduhan politik dinasti.
Kira-kira 4,203 perwakilan akan memilih pada pemilihan kali ini dan lapan calon dari Pulau Pinang akan bertanding.
Persoalannya adakah pemimpin Pulau Pinang peroleh jawatan CEC secukupnya untuk memastikan kepentingan negeri itu terus diutamakan, dan apakah pemilihan kali ini menandakan titik perubahan dinamik kuasa dalam DAP?