
Beliau menyatakan keputusan sebulat suara dibuat pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 30 Nov tahun lalu sebagai bukti parti mahu Muhyiddin terus menjadi presiden.
“Ini bukan soal puak. Ia adalah keputusan yang dibuat oleh ahli semasa PAT.
“Jika majoriti mahu beliau berundur, beliau akan berbuat demikian pada PAT 2023 apabila mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan parti akan datang,” katanya kepada FMT.
Kenyataan itu susulan laporan FMT memetik sumber dalaman parti yang mendakwa Bersatu menghadapi ketegangan dalaman, dengan puak pesaing menyokong pemimpin berbeza untuk membawa parti itu ke PRU16.
Menurut sumber itu, ketegangan timbul pada Julai tahun lalu selepas Muhyiddin membentangkan ‘pelan kompromi’, menamakan Hamzah Zainudin sebagai timbalannya dan Azmin Ali sebagai setiausaha agung.
Bagaimanapun, rancangan itu mencetuskan perpecahan dalam parti, dengan kem Azmin menegaskan Muhyiddin harus kekal meneraju sementara puak pesaing mahu Hamzah mengambil alih.
Tun Faisal berkata, keputusan pemilihan parti baru-baru ini adalah selaras rancangan Muhyiddin, yang menyaksikan Hamzah disahkan sebagai timbalan presiden dan Radzi Jidin, Ronald Kiandee dan Ahmad Faizal Azumu dipilih sebagai naib presiden.
“Walaupun pemimpin berbeza mungkin mempunyai penyokong mereka, kami telah menerima keputusan pemilihan. Muhyiddin adalah presiden, Hamzah adalah timbalan, dan keutamaan kita sekarang adalah pilihan raya umum, bukan politik parti,” katanya.
Beliau berkata, Bersatu segera mengalihkan tumpuannya selepas PAT, dengan sayap Pemuda dan Wanitanya melancarkan beberapa inisiatif termasuk usaha bantuan banjir.