Suntikan dana RM1.1 bilion untuk bantu vendor Sapura Energy

Suntikan dana RM1.1 bilion untuk bantu vendor Sapura Energy

Syarikat seperti MyGeo Sdn Bhd bersyukur dengan suntikan dana itu yang bertujuan menyelesaikan hutang Sapura Energy dengan vendor.

sapura energy office
Kira-kira 2,000 vendor mendapat manfaat daripada pelaburan RM1.1 bilion Malaysia Development Holdings Sdn Bhd’s (MDH) dalam Sapura Energy baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Membina sebuah syarikat dari bawah bukan tugas mudah, tetapi lebih mencabar bagi jurutera Jasmin Ambrose yang menubuhkan firma teknologi dasar laut di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Ditubuhkan pada 2020, MyGeo Sdn Bhd bermula sebagai sebuah syarikat geosains sebelum beralih menjadi penyedia perkhidmatan teknologi luar pesisir selepas menjalin kerjasama dengan pembekal peralatan medan minyak dari UK, Centek Centralizer, dan firma perunding Gaia Earth Group.

Pada 2021, syarikat itu bernilai RM2 juta kemudian berkembang menjadi RM10 juta tiga tahun kemudian hasil produk dan perkhidmatan khusus seperti ‘casing solutions’ dan ‘wireline standoff’, yang jauh mengatasi pesaing tempatan dari segi kualiti serta penjenamaan.

“Tiada siapa dapat menandingi tempoh masa tugas kami. Tiada siapa dapat menandingi kualiti perkhidmatan kami. Kami antara syarikat paling mahal tetapi pelanggan tetap memilih kami apabila memerlukan produk teknologi untuk menggerudi telaga minyak yang rumit,” kata Ambrose kepada FMT.

Dengan jalinan pelanggan berkembang ke Vietnam dan Thailand, Ambrose, yang juga bekas pengurus besar Sapura Energy Bhd berkata, MyGeo mendapat pengiktirafan serta penghormatan daripada rakan niaga luar negara yang menyifatkan perkhidmatannya sebagai ‘unik dan tiada tandingan’.

Perkhidmatan unik MyGeo juga membolehkannya memperoleh kontrak jangka panjang dengan syarikat minyak dan gas multinasional seperti Petronas, Shell dan Hibiscus Petroleum.

“Kita ada syarikat asing di Malaysia dan bersaing dengan kami, dan kami mengalahkan mereka dalam banyak kontrak utama,” kata Ambrose.

MyGeo antara 2,000 vendor yang akan mendapat manfaat daripada pelaburan RM1.1 bilion Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH) dalam Sapura Energy baru-baru ini.

Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemegang saham utama Sapura Energy, berkata dana pelaburan itu akan digunakan secara langsung dan hanya untuk membayar vendor tempatan syarikat minyak dan gas tersebut, yang kebanyakannya perusahaan kecil dan sederhana  melibatkan kira-kira 59,000 pekerja.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pula menegaskan pelaburan ini bukan untuk menyelamatkan syarikat itu kerana kerajaan menetapkan beberapa syarat sebelum meluluskannya, termasuk keperluan peletakan jawatan pengerusi dan pengurusan kanan syarikat.

Ambrose menyatakan rasa syukur atas suntikan modal RM1.1 bilion itu, yang menurutnya boleh digunakan untuk melunaskan hutang syarikat serta melabur semula dalam industri dengan memperoleh aset baharu dan menggaji tenaga profesional muda.

“Kami berterima kasih kepada Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia, kerajaan, dan Sapura Energy. Dengan dana ini, kami kini mempunyai sedikit modal tambahan untuk memperoleh aset, dan semoga kami dapat menyumbang kembali kepada industri serta pelanggan kami,” katanya.

Pengasas bersama EXS Synergy Sdn Bhd, Fairuz Yahaya, berkata Sapura Energy yang diperkukuhkan semula akan dapat memberi sumbangan bermakna kepada industri minyak dan gas negara.

“Kami mahu Sapura Energy kembali stabil kerana kami percaya bahawa Sapura Energy yang kukuh dapat menyediakan ekosistem yang lebih kuat untuk vendor tempatan,” katanya.

Firma pakar perlindungan letupan itu menjadi vendor Sapura Energy sejak 2016, membantu kemudahan minyak serta gas dalam menguruskan risiko letupan dengan menjalankan pemeriksaan serta penyelenggaraan kelengkapan elektrik dan peralatan di atas kapal.

Ia juga menyewakan peralatan seperti penjana elektrik, beban bank, transformer, pendingin, dan menara penyejuk kepada syarikat minyak dan gas – perkhidmatan yang digunakan Sapura Energy untuk pembinaan medan gas Pegaga di luar pesisir Sarawak pada 2018.

Firma milik Bumiputera ini menjadi syarikat pertama di dunia yang diperakui oleh International Electrotechnical Commission bawah Skim IECEx 03-4 pada 2017, memberikan kelebihan daya saing yang diperlukan untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

“Apabila anda ingin bersaing di peringkat antarabangsa, anda perlu ada kelebihan.

“Syarikat Malaysia bertuah kerana kita mempunyai industri minyak dan gas yang sangat aktif sejak lebih 40 tahun,” katanya.

Sebelum pengenalan standard piawaian kawal selia global, setiap negara menggunakan standard piawaian keselamatan berbeza bagi peralatan di kawasan berisiko tinggi.

PNB sebelum ini berkata, pelaburan MDH diperlukan bagi memastikan kelangsungan industri minyak dan gas Malaysia serta mengekalkan integriti rantaian bekalan – penting untuk meneruskan projek yang menyumbang kepada pendapatan negara dan keselamatan tenaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.