Program repatriasi migran dalam proses dilanjut, kata menteri

Program repatriasi migran dalam proses dilanjut, kata menteri

JIM sedang mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk laksana pendekatan kompaun kepada pendatang tanpa izin berbanding pendakwaan.

saifuddin nasution
Saifuddin Nasution Ismail dalam majlis penerapan nilai murni dan iftar bersama menteri dalam negeri di Masjid Kampung Permatang Tok Dik, Kulim, malam tadi. (Gambar Facebook)
KULIM:
Jabatan Imigresen (JIM) dalam proses melanjutkan program repatriasi migran yang dijadualkan tamat pada 31 Mac ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, JIM sedang mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk melaksanakan pendekatan kompaun kepada pendatang tanpa izin berbanding pendakwaan.

“Jadi ini alternatif yang kita ambil supaya mereka (pendatang tanpa izin) mendapat pilihan yang lebih manusiawi, mereka boleh balik (ke negara asal) untuk sambut Aidilfitri.

“Mereka bayar kompaun dan kita hantar balik. Jadi sekarang ini program semasa akan tamat pada 31 Mac, kita ke arah melanjutkannya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penerapan nilai murni dan iftar bersama menteri dalam negeri di Masjid Kampung Permatang Tok Dik, malam tadi.

Saifuddin berkata, melalui program itu warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen hanya perlu tampilkan diri dan membayar kompaun sebelum dihantar pulang.

“Kalau mereka berada di sini, kalau pasukan penguat kuasa imigresen buat operasi, mereka ditangkap dan akan berakhir di depoh…masuk tanpa dokumen, salah guna pas lawatan dan tinggal lebih masa semuanya kesalahan bawah Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu kerajaan berjaya mengutip bayaran kompaun sebanyak RM120 juta melalui program repatriasi migran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.