Pemilihan DAP: Pertarungan untuk kelangsungan politik dan legasi?

Pemilihan DAP: Pertarungan untuk kelangsungan politik dan legasi?

Perhatian akan tertumpu sama ada calon yang setia kepada Lim Guan Eng atau Loke Siew Fook akan menguasai CEC pada pemilihan Ahad ini.

Dua puak yang bersaing masing-masing diketuai Lim Guan Eng dan Loke Siew Fook sedang berusaha menguasai CEC pada pemilihan DAP 16 Mac.
PETALING JAYA:
DAP sedang bersiap sedia untuk perebutan kerusi dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada Ahad, dengan 70 calon bersaing untuk 30 tempat dalam pertarungan yang boleh menentukan pengaruh keluarga Lim ke atas parti itu pada masa depan.

Kumpulan 30 orang itu seterusnya akan menentukan pemegang jawatan bagi penggal 2025-2028, tempoh penting menjelang PRU16 — dijangka menjelang Februari 2028.

Salah satu persoalan utama yang akan terjawab ialah sama ada Lim Guan Eng, pengerusi kebangsaan parti dan bekas menteri kewangan, akan mengekalkan pengaruh kuat keluarganya. Adiknya, Hui Ying, turut bertanding, sekali gus menguja minat pemerhati.

Perhatian akan tertumpu pada Loke Siew Fook, yang kini memegang jawatan paling berpengaruh sebagai setiausaha agung. Saf baharu CEC akan menentukan sama ada sekutu beliau, dikatakan termasuk Nga Kor Ming, menteri perumahan dan kerajaan tempatan, akan menguasai jawatankuasa itu.

james chin
James Chin.

“Adakah keluarga Lim akan kekal sebagai kuasa dominan atau akan muncul hala tuju baharu dalam kepimpinan,” soal James Chin, profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania, dan menambah bahawa pemilihan kali ini menyentuh ‘kelangsungan politik keluarga Lim’.

“Jika mereka memperoleh kerusi yang mencukupi, mereka boleh mengekalkan pengaruh,” katanya kepada FMT.

Chin berkata, memenangi sekurang-kurangnya 16 kerusi akan menentukan sama ada ‘orang lama’ atau kepimpinan baharu menguasai parti, dan akhirnya menentukan siapa yang akan menjadi pengerusi kebangsaan.

Guan Eng, penyandangnya, nampaknya akan dicabar oleh Chow Kon Yeow, ketua menteri Pulau Pinang, untuk jawatan itu.

Walaupun Guan Eng dan Hui Ying gagal mendapatkan jawatan tertinggi, Chin berkata nama keluarga mereka akan selama-lamanya terukir dalam sejarah parti.

“Anda tidak boleh bercakap mengenai DAP tanpa menyebut keluarga Lim, tetapi pemilihan kali ini akan menentukan sama ada mereka masih boleh mencorak masa depan parti atau sekadar simbol suatu legasi.”

P Sivamurugan.

P Sivamurugan, dari Universiti Sains Malaysia, menyifatkan Guan Eng sebagai seorang pejuang, malah menyamakan beliau dengan bapanya Kit Siang. “Dia tidak akan mudah berputus asa.”

Tempoh Kit Siang dalam CEC bermula pada 1966, yang menyaksikan beliau dilantik sebagai sebagai setiausaha penganjur kebangsaan. Pada 1969, beliau menjadi setiausaha agung DAP, yang dipegangnya selama 30 tahun. Dia bersara daripada politik pada 2022.

Selain Guan Eng dan Loke, prestasi Gobind Singh Deo, yang juga seorang menteri persekutuan, akan diperhatikan.

Gobind, anak kepada mendiang Karpal Singh, bekas pengerusi DAP, gagal mendapat tempat dalam jawatankuasa Selangor pada pemilihan tahun lepas, sekali gus tidak lagi memimpin DAP Selangor.

Sementara itu, calon wanita yang perlu diberi perhatian antaranya Hannah Yeoh, Kasthuri Patto, Vivian Wong, Teresa Kok, Teo Nie Ching, Yeo Bee Yin dan Young Syefura Othman. Sembilan kerusi dikhaskan untuk wanita menurut perlembagaan parti.

Seramai 4,203 perwakilan akan mengundi pada kongres nasional di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam. Majlis itu dijangka dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, yang juga perdana menteri.

Akan lebih kuat atau berpecah?

Dahulunya salah satu parti pembangkang yang lantang, DAP kini sebahagian daripada kerajaan. Bagaimanapun, pengundi Cina yang menjadi teras penyokongnya dikatakan semakin kecewa, bimbang dengan kegagalan DAP memperlihatkan kuasanya walaupun memegang bilangan kerusi terbanyak dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan.

“Terdapat banyak tekanan ke atas DAP,” kata Chin.

“Pengundi Cina menjangkakan parti itu akan mengambil pendirian yang lebih kuat dalam isu-isu penting yang berkaitan dengan masyarakat Cina, tetapi ia sebahagian besarnya dilihat mudah bertolak ansur dengan rakan gabungan,” katanya.

Sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan Anwar, DAP dilihat mengalah kepada rakan gabungan, khususnya Umno. Ramai pengundi Cina berharap, sebagai parti terbesar dalam PH, DAP akan mendesak pembaharuan institusi dan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat dengan lebih kuat.

Ini membawa kepada dakwaan bahawa parti itu telah ‘jual’ prinsipnya.

Sivamurugan berkata, pemilihan kali ini akan menguji sama ada DAP bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan realiti politik.

“Pemilihan kali ini tegang kerana persaingan antara puak,” katanya.

“Tetapi persoalan lebih besar ialah sama ada DAP akan muncul lebih kuat dan lebih bersatu, atau berpecah dan lemah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.