
Perkara ini diumumkan anak kepada presiden PKR itu hari ini, menurut Bernama.
Izzah berkata beliau tidak akan mengambil mudah persaingan ini dan akan melakukan sedaya upaya untuk menang.
“Saya berharap anggota-anggota parti dapat memberikan saya peluang untuk menggalas bebanan selari dengan konsep fardu kifayah kerana sejak awal masa penubuhan parti saya masuk ke gelanggang pun berdasarkan mahu melunaskan konsep fardu kifayah, maka saya berharap dalam pemilihan kali ini pertandingan dalam semangat kekeluargaan,” katanya.
Setakat ini tiga naib presiden mengumumkan akan pertahan jawatan masing-masing, iaitu Amirudin Shari (menteri besar Selangor), Aminuddin Harun (menteri besar Negeri Sembilan), dan Nik Nazmi Nik Ahmad (menteri persekutuan).
Izzah tidak bertanding pada pemilihan 2022. Beliau kemudian dilantik sebagai naib presiden.
Dua lagi naib presiden lantikan adalah K Saraswathy (timbalan menteri persekutuan) dan Awang Husaini Sahari (bekas Ahli Parlimen Putatan).
Empat naib presiden yang dipilih pada pemilihan 2022 adalah Amirudin, Aminuddin, Nik Nazmi dan Chang Lih Kang (menteri persekutuan).
Izzah mewakili rakyat Permatang Pauh selama tiga penggal namun tewas pada PRU 2022. Calon PAS, Fawwaz Jan, menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 5,272 undi.