Guan Eng tolak dakwaan tarik diri pemilihan CEC

Guan Eng tolak dakwaan tarik diri pemilihan CEC

Pengerusi DAP bertegas kekal dalam pemilihan dan membiarkan ahli menentukan masa depannya.

lim guan eng
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata laporan media mendakwa beliau menarik diri daripada pemilihan CEC ‘tidak disahkan dan palsu’. (Gambar Johnshen Lee)
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menolak spekulasi beliau akan menarik diri daripada bertanding pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) esok.

Dalam catatan Facebook, Lim menyifatkan laporan media konon beliau menarik diri adalah ‘tidak disahkan dan palsu’.

“Tetapi Guan Eng tidak akan sekali-kali menarik diri daripada pemilihan. Masa depan saya akan ditentukan oleh ahli DAP,” katanya.

Lim menjawab laporan media berbahasa Cina yang memetik sumber bahawa beliau mungkin mengumumkan penarikan diri pada Kongres Kebangsaan DAP esok, di mana pemilihan CEC juga akan berlangsung.

Salah satu laporan dikongsi di Facebook itu mendakwa Lim telah memutuskan untuk berundur selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti semalam.

Ahli Parlimen Bagan itu turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya atas keprihatinan mereka dan menggalakkan mereka menghadiri kongres parti itu.

“Terima kasih kepada rakan parti atas keprihatinan anda. Jumpa anda di kongres parti!”

FMT sebelum ini melaporkan terdapat ‘desakan beramai-ramai’ untuk menyingkirkan Lim daripada jawatan kepimpinan dalam DAP.

Puak tertentu dalam DAP menyokong Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk mengambil alih sebagai pengerusi. Bagaimanapun, sebilangan besar ahli menyokong kepimpinan berterusan Lim, memandangkan beliau sebagai seorang personaliti yang kuat, tidak gentar untuk menentang PKR dan Umno.

Pada Jumaat, lima perwakilan pemilihan DAP menggesa Lim tarik diri daripada perebutan jawatan CEC, dengan seorang mencadangkan sudah tiba masa untuknya berundur bagi memberi laluan kepada generasi muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.