Enjin pesawat Malaysia Airlines terbakar di Manila

Enjin pesawat Malaysia Airlines terbakar di Manila

Penerbangan MH705 menuju ke KL terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Manila akibat kebakaran enjin dipercayai terkena burung.

Pengguna X @dasunhegoda muat naik gambar enjin pesawat terbakar dengan penerbangan selamat kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, di Manila. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Penerbangan Malaysia Airlines dari Manila ke Kuala Lumpur dipercayai berpatah balik selepas satu daripada enjin terbakar dalam kejadian petang semalam, akibat terkena burung.

Tiada sebarang kecederaan dalam kejadian melibatkan penerbangan MH705 yang selamat kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila, menurut penumpang.

Pengguna X @dasunhegoda, berkata enjin gagal dan terbakar selepas pesawat berlepas dari lapangan terbang, sambil memuat naik gambar api marak daripada enjin ketika di udara.

Lelaki berkenaan mengucapkan penghargaan kepada juruterbang dan anak kapal kerana memastikan keselamatan penumpang, dengan akaun rasmi X syarikat penerbangan negara membalas: “Kami lega mendengar anda selama dan benar-benar menghargai kefahaman anda dalam situasi sukar ini.”

Malaysia Airlines menegaskan keselamatan dan kesejahteraan penumpang menjadi keutamaan dan menyuarakan kekesalan atas gangguan rancangan perjalanan mereka yang berada dalam penerbangan.

FMT telah menghubungi Malaysia Aviation Group untuk ulasan lanjut berhubung kejadian.

Pengguna Facebook, Adely Kassim, berkata dia berada dalam penerbangan itu dan melihat “kerlipan cahaya”, namun tidak menyedari enjin sedang terbakar.

“Getaran dirasai tidak normal,” katanya dalam hantaran semalam. “Penerbangan selamat kembali ke lapangan terbang Manila.”

Dalam perkembangan berasingan, platform berita penerbangan Filipina, Aviation Updates Philippines menyiarkan video yang kelihatan seperti api dan asap keluar dari enjin kiri pesawat susulan disyaki terkena burung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.