Badan Peguam mahu kerajaan siasat dakwaan campur tangan kehakiman

Badan Peguam mahu kerajaan siasat dakwaan campur tangan kehakiman

Presiden Ezri Abdul Wahab berkata cadangan itu akan dihantar dalam tempoh seminggu bagi mendapat maklum balas Putrajaya.

Malaysian Bar Presiden Mohamad Ezri Abdul Wahab
Presiden Badan Peguam Ezri Abdul Wahab, berkata Majlis Peguam telah buat libat urus dengan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dipengerusikan ketua hakim negara bagi meminda akta kawal selia suruhanjaya itu.
KUALA LUMPUR:
Badan Peguam akan menghantar cadangan rasmi kepada kerajaan mengenai penubuhan suruhanjaya bebas siasatan bagi menyiasat campur tangan kehakiman seperti didakwa Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

“Kami akan menghantarnya dalam tempoh seminggu selepas mesyuarat agung tahunan hari ini untuk mendapatkan maklum balas mereka,” kata Ezri Abdul Wahab, dalam sidang media selepas kembali menjadi presiden badan itu susulan tiada pertandingan.

Awal hari ini, Badan Peguam sebulat suara meluluskan dua resolusi menegakkan komitmennya mempertahan kebebasan kehakiman dan mengutuk apa jua campur tangan eksekutif, badan perundangan, atau individu tidak berkaitan.

Dalam ucapan pembukaan tahun undang-undang, Tengku Maimun berkata kebebasan kehakiman mesti dilindungi dalam apa cara sekalipun dan campur tangan luar dalam pelantikan atau kenaikan pangkat hakim tidak boleh diterima.

Tengku Maimun dijadual bersara wajib pada Jun ini, berkata mana-mana individu tidak berkaitan yang mengganggu fungsi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) akan dikira melakukan jenayah.

Kenyataannya ditafsirkan secara meluas dalam komuniti undang-undang merujuk kepada pelantikan yang mungkin dibuat di luar rangka kerja Perlembagaan dan perundangan sepatutnya.

Ezri berkata, Badan Peguam telah melakukan libat urus dengan JAC dipengerusikan Tengku Maimun bagi meminda akta mengawal selia suruhanjaya berkenaan.

“Iada adalah usaha berlanjutan dan kami ada bertemu dengan dua individu dalam JAC. Mereka ada memberikan petunjuk dan kami sedang menelitinya. Ia akan dibincang dalam mesyuarat majlis akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.