‘Askar hitam’ harapan urus makanan terbazir

‘Askar hitam’ harapan urus makanan terbazir

Penggunaan larva lalat askar hitam sebagai kaedah pengurusan sisa makanan menawarkan penyelesaian mesra alam yang berkesan.

Black Soldier
Larva lalat askar hitam membantu dalam proses penguraian sisa makanan.
PETALING JAYA:
Pada 2023 sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan ketika Ramadan sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai pelupusannya yang boleh menyumbang kepada kesan rumah hijau.

Justeru, sudah tiba masa pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkenalkan kaedah alternatif lebih mesra alam dan berkesan seperti penggunaan lalat askar hitam atau black soldier fly (BSF).

BSF atau nama saintifiknya Hermetia Illucens adalah spesies lalat terdapat di negara beriklim tropika yang digunakan bagi memproses pelbagai jenis bahan buangan organik harian, selain memelihara sumber alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam.

Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin, berkata larva BSF boleh memproses sisa buangan organik dengan berkesan tanpa menyumbang kepada pencemaran alam.

Lalat askar hitam mengandungi protein yang mencukupi untuk tumbesaran haiwan ternakan.

Sedar jumlah sisa makanan terkumpul di seluruh negara terlalu banyak, beliau mencadangkan PBT merangka ujian awal dalam skala kecil seperti di taman perumahan atau bazar Ramadan.

Katanya, ia dapat membantu mengenal pasti kelemahan kaedah itu serta dapat ditambah baik sebelum diperluas ke setiap negeri.

“Kelebihan BSF adalah pengamalan sistem ekonomi sirkular di mana sisa makanan terhasil daripada manusia akan dimakan oleh larvanya, seterusnya larva itu dijadikan makanan kepada haiwan ternakan manakala najisnya sebagai baja tumbuhan.

“Haiwan dan tumbuhan itu pula kemudian akan dikonsumsi semula oleh manusia menghasilkan satu kitaran lengkap,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) 2024 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan keempat dalam senarai negara Asia Tenggara yang paling banyak membazir makanan.

Aisyah Maisarah Abd Razak (dua kiri) bersama mentor dan ahli kumpulan Insective Lab yang mengusahakan pembiakan lalat askar hitam di ladang mini Universiti Malaya.

Sahut cabaran

Dalam usaha memberi kesedaran mengenai pengurusan sisa makanan, 10 sukarelawan dari kumpulan Insective Lab Universiti Malaya (UM) menyahut cabaran membangunkan projek pembiakan BSF di ladang mini universiti itu sejak Mac tahun lalu.

Pengasasnya, Aisyah Maisarah Abd Razak, 23, berkata larva BSF boleh memakan apa sahaja sisa organik termasuk makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran rosak serta makanan tamat tempoh.

“Apa yang menarik tentang BSF bukan pada kitaran hidupnya sebagai lalat, tetapi fasa larvanya yang merupakan waktu ia sangat lapar dan boleh makan hingga empat kali ganda berat badannya.

Nur Asyikin Aminuddin.

“Dalam UM sendiri, kita ada lebih 15 kafe. Jadi, ia menjadi satu perkara mudah untuk kita membiakkan BSF di sini dengan sumber sisa makanan berdekatan,” katanya.

Aisyah berkata, penjagaan BSF tidak sukar dan cukup memenuhi keperluan pembesarannya seperti suhu antara 25 hingga 35 darjah celsius dan kelembapan 50% ke 70%.

Katanya, larva BSF yang dibiak turut dijadikan makanan kepada pelbagai jenis baka ayam dibela di ladang mini UM.

Projek BSF diusahakan kumpulan itu adalah hasil perolehan dana RM35,000 diterima bawah Program University-Community Social Enterprise (UCSE) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.