
Adun Sungai Puyu Phee Syn Tze, bersama bekas Adun Bagan Jermal Soon Lip Chee, ahli biasa K Kalidas dan PR Kaliyappan, berkata mereka berundur untuk menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan ‘3G’ (generasi ketiga) parti bawah Setiausaha Agung Loke Siew Fook.
“Keputusan ini untuk menjelaskan kepada ahli DAP Pulau Pinang dan seluruh Malaysia kepentingan menyokong penuh kepimpinan 3G, terutama untuk membentuk barisan pimpinan yang teguh dan bersatu bagi mendepani PRN dan PRU akan datang,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Mereka juga berikrar menyokong penuh cadangan Loke ‘untuk merombak semula CEC bagi menyuntik semangat baharu bagi menghadapi cabaran akan datang’.
“Oleh itu, kami menyeru semua perwakilan untuk memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan 3G DAP.”
Semalam, Loke dilaporkan sebagai berkata kepimpinan DAP akan menjalani ‘rombakan besar-besaran’ jika beliau dipilih semula sebagai setiausaha agung dalam pemilihan parti pada Ahad.
Loke berkata, satu perubahan besar diperlukan untuk menyediakan DAP menghadapi cabaran masa depan supaya ia boleh kekal berdaya saing dalam landskap politik negara, lapor Sin Chew.
Dalam kenyataan bersama itu, empat individu terbabit juga berkata Pulau Pinang kekal sebagai negeri paling penting bagi DAP, kerana ia adalah satu-satunya negeri diterajui oleh ketua menteri daripada parti itu.
“Untuk menjamin kemenangan bagi kali kelima pada PRN akan datang, kita amat memerlukan DAP Pulau Pinang yang mampu bergerak sebagai satu pasukan dengan teguh dan bersatu,” kata mereka.
Bagaimanapun, mereka memberi amaran matlamat itu tidak mungkin tercapai selagi ada cubaan terutama dalam kalangan ahli sendiri untuk campur tangan dan memburukkan parti serta kerajaan negeri.
Pemilihan CEC esok dijangka sengit, berikutan spekulasi berbulan-bulan mengenai penyingkiran Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan mengekang pengaruh keluarganya dalam parti.
Seramai 4,203 perwakilan akan mengundi dalam kongres kebangsaan di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam. Majlis itu dijangka dihadiri Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.