
Pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, dan pasangan wanita utama, Pearly Tan-M Thinaah
menunjukkan aksi melawan, namun saingan mereka terbukti lebih baik hari ini.
Soon Huat-Shevon mempamerkan aksi bertenaga apabila menang set pertama ke atas gandingan China, Jiang Zhen Bang-Huang Dong Ping, namun tewas 21-18, 8-21, 10-21, dalam tempoh 44 minit, di Utilita Arena, Birmingham.
Manakala, Pearly-Thinaah pula kalah kepada pasangan utama Jepun, Matsuyama-Chiharu Shida, 17-21, 19-21 dalam tempoh 41 minit.
Soon Huat-Shevon pernah beraksi pada separuh akhir All England pada 2019, dan tidak pernah melepasi pusingan awal dalam lima kejohanan terakhir.
Pearly-Thinaah, bermain di gelanggan bersebelahan, memperaga aksi bertenaga walaupun Pearly jelas bermasalah dengan kecederaan buku lali dialami semalam.
Ada ketika pada aksi set kedua di mana raket Thinaah terputus tali, dengan Pearly memberikan raket kepada pasangannya, sambil terjengket-jengket lalu mendapatkan raket baharu dan menyambung aksi perlawanan.
Pearly terseliuh buku lali dalam set kedua ketika saingan 16 terakhir menentang pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti, malam tadi, namun pasangan negara menang dalam dua set.
Kekalahan pasangan itu kepada pasangan Jepun adalah kali ke-12 daripada 13 pertembungan sebelum ini, termasuk tumpas dalam aksi pingat gangsa Sukan Olimpik, pada Ogos lalu.