Ruang cari pelapis, Wanita PKR tepis pertembungan ‘seteru lama’ gambaran perpecahan

Ruang cari pelapis, Wanita PKR tepis pertembungan ‘seteru lama’ gambaran perpecahan

Persaingan Fadhlina Sidek dan Rodziah Ismail bagi ketua Wanita bukan pertembungan kumpulan berjawatan dan tidak berjawatan di Putrajaya.

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail akan mencabar Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagi jawatan ketua Wanita PKR pada pemilihan Mei ini.
PETALING JAYA:
Pemimpin PKR menepis tanggapan pertembungan ‘seteru lama’ bagi merebut jawatan ketua Wanita antara penyandang Fadhlina Sidek dan Rodziah Ismail gambaran perpecahan sayap itu.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli, juga menolak ia pertembungan kumpulan berjawatan dan tidak berjawatan di Putrajaya, merujuk Fadhlina yang juga menteri pendidikan dan Rodziah Ahli Parlimen Ampang.

Juwairiya Zulkifli.

Katanya, saingan itu lebih kepada platform mengenal pasti dan membuka ruang potensi mencari pelapis serta kepimpinan baharu selaras PKR sebagai parti meraikan demokrasi.

“Sekiranya semua calon bertanding dan berkempen secara matang, sepatutnya tidak timbul isu perpecahan ditambah pula pemilihan kali ini tidak membenarkan bahan kempen berkumpulan atau ‘cai’. Masing-masing perlu tonjolkan kekuatan dan kelebihan individu.

“Biarpun kita tidak dapat kawal semua anggota untuk beri pandangan mereka, tetapi diharap semua menghormati rakan seperjuangan yang menawarkan diri bertanding kerana semua ingin berbakti kepada parti,” kata bekas Adun Bukit Melawati kepada FMT.

Rodziah yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat, sebelum ini menggambarkan Wanita PKR ‘sedikit lesu’ dan pimpinan sayap itu memerlukan ‘nafas baharu’.

Pada 10 Mac lalu beliau mengumumkan akan bertanding merebut jawatan ketua Wanita pada pemilihan Mei ini. Manakala Fadhlina terlebih dahulu pada 5 Mac mengumumkan akan mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2022.

Pada pemilihan parti 2022, Rodziah kalah kepada Fadhlina dengan 32 undi. Fadhlina meraih 18,923 undi manakala Rodziah mendapat 18,891 undi.

Napsiah Khamis.

Dalam pada itu, Juwairiya berkata bagi memastikan kempen berjalan dalam semangat kekeluargaan, kumpulan penyokong calon bertanding perlu mengelak menggunakan ‘kempen kotor’, serangan peribadi, fitnah dan ugutan untuk meraih sokongan.

Beliau turut mengingatkan pihak yang berjawatan kerajaan tidak harus menggunakan kelebihan itu untuk mempengaruhi undi dan sokongan ahli parti.

Senada dengan Juwairiya, Exco Wanita PKR, Napsiah Khamis, menyeru calon bersikap profesional dan tidak menggunakan jawatan atau kuasa untuk berkempen termasuk menggunakan kemudahan kerajaan.

“Calon perlu bertanding di atas ‘padang yang sama’ dengan cara terhormat dan disiplin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.