
Hakim Ibrahim Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Hafizul Abd Hamid, 43, yang bertugas di Kolej Perikanan Malaysia Lumut, Sitiawan, Perak, dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa telah memperdayakan pengurus besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matang Nora’ Ashikin Hussain sehingga wanita itu menyerahkan wang tunai sebanyak RM17,413.
Muhamad Hafizul didakwa mengambil wang itu sebagai pendahuluan bayaran bagi penyediaan ‘Perkhidmatan Latihan Praktikal Sangkar Laut Untuk Pelatih SKM Akuakultur Marin Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut’ yang dijadualkan pada 24 hingga 30 Sept 2017, sedangkan latihan itu tidak dijalankan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Manjung pada 21 Sept 2017.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 417 seksyen sama, membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, Muhamad Hafizul bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugas menyelia pelajar akuakultur marin serta mengatur program dan latihan berkaitan ternakan ikan sangkar, kolam dan udang, dan dia telah membuat permohonan bagi latihan itu yang tidak dilaksanakan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Shahrul Azuan Ghazali dan Mohd Afiq Mohd Adnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.