Pakar beri amaran risiko tanah runtuh akibat projek NCPR

Pakar beri amaran risiko tanah runtuh akibat projek NCPR

Kam Suan Pheng berkata, pengurusan aliran air yang buruk boleh cetus tanah runtuh, mengambil contoh beberapa bencana dalam tempoh sedekad lepas.

tanjung bungah
Sebahagian NCPR akan menyusuri banjaran bukit Tanjung Bungah, di mana jalan raya dan beberapa banglo runtuh berikutan hujan lebat pada November 2017. (Gambar blog Anil Netto)
GEORGE TOWN:
Seorang pakar geospatial memberi amaran, lebuh raya pesisir pantai baharu bernilai RM2.4 bilion yang menghubungkan Tanjung Bungah dengan Batu Ferringhi dan Teluk Bahang mungkin membahayakan ekosistem bukit yang rapuh di Pulau Pinang.

Penyelaras badan pemerhati komuniti Penang Hills Watch, Kam Suan Pheng berkata, saliran air yang lemah di Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR) boleh mengakibatkan tanah runtuh dan banjir.

Beliau memberitahu FMT, laluan sepanjang 10.61km itu akan merentasi pelbagai sungai dan anak sungai, mengganggu corak saliran semula jadi yang membantu menstabilkan bukit.

Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan, lebih separuh daripada NCPR akan dibina di banjaran bukit Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang, dengan kos RM2.4 bilion.

Kam berkata, negeri itu mesti mengambil bencana berkaitan dengan bukit yang pernah berlaku sebelum ini, termasuk tanah runtuh Bukit Kukus 2018 dan runtuhan banglo berhampiran Surin Condo pada 2017, sebagai contoh akibat laluan air bermusim terhalang.

Laluan air bermusim ialah sungai atau anak sungai yang mengalir hanya pada musim hujan atau selepas hujan lebat. Laluan air ini lazimnya kering sepanjang tahun, tetapi boleh terisi dengan cepat apabila air mengalir dari tempat lebih tinggi.

Kam memberi amaran, tindakan menyekat laluan air ini boleh menyebabkan tanah runtuh, seperti yang dilihat dalam bencana yang pernah terjadi sebelum ini.

Menurutnya, apabila jalan raya atau pembangunan mengganggu aliran air semula jadi, air yang berlebihan boleh melemahkan tanah, menjadikan bukit tidak stabil dan mudah runtuh.

“Pengajaran penting daripada (kejadian) tanah runtuh sebelum ini adalah sungai yang kelihatan kering hampir sepanjang tahun boleh ‘hidup semula’ pada musim hujan.

“Jika aliran semula jadinya disekat atau diubah, tanah boleh jadi tidak stabil dan tiba-tiba runtuh,” katanya.

Menurut Kam, walaupun sebahagian NCPR akan menganjur ke laut sebelum kembali ke daratan berhampiran Ratu Mutiara, ada bahagian-bahagian besar laluan itu masih akan memotong cerun bukit yang curam, justeru penting bagi kerajaan untuk menjalankan kajian hidrologi dan batimetri yang teliti sebelum memulakan projek itu.

Beliau bagaimanapun enggan membuat sebarang kesimpulan sehingga negeri mengeluarkan laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) projek itu yang telah dipinda.

EIA telah pun diluluskan beberapa tahun lepas, tetapi negeri akan mengemukakan laporan baharu untuk diluluskan, memandangkan projek itu akan menyusuri pesisir pantai berdekatan masjid terapung di Tanjung Bungah.

“Saya tunggu untuk lihat apa yang akan dilaporkan dalam EIA dahulu – harapnya ia akan didedahkan kepada umum – sebelum ulas,” tambahnya.

NCPR adalah antara komponen projek jalan raya dan terowong bawah laut Pulau Pinang, sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Laluan itu bertujuan mengurangkan masa perjalanan dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang daripada 45 minit kepada hanya tujuh minit. Pembinaannya dijangka mengambil masa lima tahun, dengan sasaran siap menjelang 2031.

Keraguan dan kritikan

Presiden Persatuan Penduduk Tanjung Bungah Zulfikar Aziz mempersoalkan kenyataan gah kerajaan Pulau Pinang bahawa perjalanan menggunakan NCPR hanya akan mengambil tujuh minit.

Menurutnya, pengurangan tempoh perjalanan yang drastik itu tidak dapat dibayangkan dan mustahil jika dihitung.

“Untuk mencapai masa perjalanan tujuh minit bagi jarak 10.6km, anda perlu pandu pada kelajuan 90km/j dari awal hingga akhir,” katanya.

Dalam pada itu, kumpulan alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa NCPR ialah projek melulu yang mengutamakan kepentingan pembangunan swasta berbanding alam sekitar.

“Kami harap kewajaran akal digunakan untuk tidak meneruskan NCPR, mengambil kira ia melibatkan pemotongan bukit besar-besaran dan (akan mengakibatkan) kesan negatif terhadap kawasan yang sangat rapuh dan sensitif,” kata presidennya, Meenakshi Raman.

Meenakshi berkata, laluan itu akan dibina melalui bukit melebihi 250 kaki dan di cerun melebihi 25 darjah, kawasan yang menurutnya perlu dilindungi bawah undang-undang alam sekitar.

Tambahnya, konflik manusia dan hidupan liar pada masa akan datang turut menjadi kebimbangan penting kerana laluan itu akan menceroboh habitat hidupan liar.

Meenakshi berkata, SAM telah membantah EIA projek itu sebelum ini dan terkejut apabila kerajaan meneruskannya, walaupun terdapat tanda-tanda awal ia mungkin dibatalkan.

Zulfikar dan Meenakshi berkata, kerajaan negeri sebaliknya patut menumpukan pada peluasan perkhidmatan feri dan pengangkutan awam, bukan membina lebih banyak lebuh raya.

Zulfikar berkata, negeri tidak pernah membuat pelaburan sebenar untuk menambah baik perkhidmatan feri di seluruh pulau.

Katanya, laluan feri Teluk Bahang-Weld Quay akan mengurangkan kebergantungan pada kereta, malah sistem feri baharu Pulau Pinang telah terbukti berkesan.

“Sudah lama patutnya kita luaskan laluan ini. Beli saja beberapa lagi feri sama dan luaskan laluan (itu),” katanya.

Meenakshi berkata, pendekatan pengangkutan yang mementingkan kereta di Pulau Pinang bertentangan dengan dakwaan komitmennya terhadap perubahan iklim dan kelestarian.

Meenakshi dan Zulfikar berkata, sebagai penduduk, mereka mahukan ketelusan penuh mengenai kos projek, pertukaran tanah, dan kajian alam sekitar, serta berharap agar dialog awam diadakan untuk maklum balas orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.