
Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima satu laporan polis semalam berkait kejadian itu dari seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun yang juga pengarah syarikat perkapalan tersebut.
Katanya, lelaki itu mendakwa sekumpulan lelaki datang ke sebuah tempat letak kereta di kawasan Kota Bayu Emas di Pendamar, Klang dan mengeluarkan 28 buah kereta yang masih menunggu keputusan mahkamah berkenaan tuntutan dari pihak insurans.
“Siasatan lanjut mendapati pemilik kereta yang tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat perkapalan memohon bantuan dari NGO pengguna Semboyan Malaysia untuk mengeluarkan kereta tersebut.
“Susulan laporan itu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh dan individu terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, pemilik sebuah kapal kargo yang terbakar ketika mengangkut kenderaan ke Sabah pada Disember lalu membuat laporan polis selepas sekumpulan individu didakwa menceroboh tempat penyimpanan dan melarikan sejumlah kereta.
Wakil undang-undang MV Malaysia Star, Jeremy Joseph, berkata pihaknya juga menerima satu pautan siaran langsung di TikTok yang disiarkan oleh kumpulan itu sendiri dalam tempat simpanan kenderaan tersebut.
Kapal itu terbakar di kedudukan 9 batu nautika berhampiran Tanjung Labuh, Batu Pahat, dalam pelayaran ke Kota Kinabalu pada 3 Dis, memaksanya ditunda kembali ke Pelabuhan Klang. Beberapa kenderaan rosak dalam kejadian itu.
Pada 18 Feb lalu FMT melaporkan, pemilik kenderaan terbabit berkata mereka dimaklumkan perlu membayar 60% nilai kereta kepada syarikat perkapalan untuk mendapatkan kembali kereta mereka, tanpa mengira sama ada mengalami kerosakan atau tidak dalam kebakaran itu.
Seorang daripadanya dimaklumkan ejen perkapalan bahawa kereta berkenaan ditahan disebabkan klausa mengikut undang-undang maritim yang menyatakan, jika berlaku kebakaran atau kerosakan di laut, kerugian perlu ditanggung bersama syarikat kapal dan pemilik kenderaan.
Pemilik kereta terbabit berkata, ejen perkapalan tidak memaklumkan mereka mengenai klausa itu terlebih dulu, menyebabkan ramai tidak pasti siapa yang patut dipertanggungjawabkan.