Ismail keluar dari SPRM selepas 6 jam, dipanggil semula Isnin

Ismail keluar dari SPRM selepas 6 jam, dipanggil semula Isnin

Terdahulu, Ismail Sabri Yaakob hadir pada 8.45 pagi bagi dirakam keterangan.

Kenderaan membawa bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, meninggalkan SPRM seusai sesi rakaman percakapan hari ini.
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan selepas enam jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kenderaan yang dinaiki beliau keluar dari bangunan SPRM, pada jam 5.42 petang.

Sumber memberitahu FMT bahawa Ismail dijangka akan sambung memberi keterangan pada Isnin.

Terdahulu, Ismail hadir jam 8.45 pagi bagi dirakam keterangan, untuk hari yang kedua.

Beliau kemudian keluar pada 12.30 tengah hari untuk menunaikan solat Jumaat. Ahli Parlimen Bera itu kembali pada 3.25 petang tadi untuk sambung memberi keterangan.

Semalam, Ismail turut berada hampir enam jam di ibu pejabat SRM bagi rakaman keterangan.

Proses merakam keterangan tertangguh dua kali sebelum ini, iaitu pada 5 Mac dan 7 Mac, atas sebab kesihatan.

Ismail semalam berkata beliau akan beri kerjasama sehingga siasatan membabitkannya selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini mengesahkan keterangan Ismail diambil bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, berkait empat pegawai kanannya yang telah ditahan.

Terdahulu, SPRM mendedahkan kira-kira RM170 juta wang tunai dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dirampas dalam serbuan di kediaman empat pegawai berkenaan serta tiga premis lain dipercayai sebagai ‘safe house’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.