
Tiga lelaki berusia 35 hingga 40 tahun itu dilaporkan aktif melakukan 17 kes samun dan pecah rumah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur sejak awal tahun lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Fadil Marsus, berkata semua suspek dikesan bersembunyi di kawasan hutan selepas cuba menyamun sebuah kediaman di Desa Vista.
“Suspek ini dikesan selepas alat penggera keselamatan sebuah rumah yang menjadi sasaran kumpulan ini berbunyi, sebelum pemiliknya menyedari kelibat individu bersenjata parang dan bertopeng.
“Menyedari kehadiran mereka (suspek) disedari pemilik rumah, suspek bersembunyi di kawasan hutan berhampiran sebuah tangki air,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, pemilik rumah segera menghubungi polis sebelum anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) digerakkan untuk mengesan suspek.
Hasil maklumat orang ramai dan risikan, katanya, suspek dikesan di kawasan hutan dan cuba menyerang pasukan polis dengan parang.
Justeru, menurutnya, polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan tiga suspek disahkan mati di lokasi kejadian.
“Suspek ini dianggap ganas dan berbahaya kerana tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka,” katanya yang memberi contoh kes samun di Sungai Buloh, di mana mangsa cedera ditetak.
Fadil berkata, berdasarkan maklumat risikan polis, kumpulan itu dipercayai mempunyai lima anggota dan pihaknya giat mengesan saki-bakinya.
Beliau berkata, semua suspek bergiat aktif dalam jenayah samun dan pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta.